Thursday, May 17, 2012

JPP

Jawatankuasa Khas Untuk Pemilihan Jawatankuasa PERUBATAN

Mengenai Pemilihan

Posted by JPP On November - 20 - 2010

Mulai tahun 2010, Jawatankuasa khas untuk Pemilihan jawatankuasa PERUBATAN (JPP) telah menukar sistem pilihanraya daripada ‘Undi Popular’ kepada sistem ‘Pencalonan’.

Sistem ‘Pencalonan’ ini dikatakan lebih memberi faedah kepada PERUBATAN adalah kerana, mereka yang dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa Tertinggi PERUBATAN akan lebih berasa bertanggungjawab dan amanah dalam melaksanakan tugas kerana mereka ini telah bersedia untuk berkorban dan memberi khidmat kepada PERUBATAN jika ingin dibandingkan dengan sistem sebelum ini iaitu mereka yang dilantik menjadi AJK lebih kepada paksa rela.

Secara ringkasnya, sistem ‘Pencalonan’ ini memerlukan kepada 3 elemen iaitu pencadang, calon serta penyokong. Bagi individu yang ingin mencadangkan seseorang untuk menjadi calon, pencadang itu dikehendaki untuk membeli borang pencalonan daripada wakil JPP dengan kadar harga yang telah ditetapkan mengikut jawatan. Pencadang itu dikehendaki menghantar borang pada tarikh yang telah ditetap oleh pihak JPP. Ketika menghantar borang pencalonan tersebut, pencadang itu dikehendaki untuk hadir bersama-sama dengan calon dan seorang penyokong untuk menandatangani borang pencalonan di hadapan wakil JPP.

Di dalam sistem ‘Pencalonan’ ini, beberapa istilah perlu difahami oleh setiap ahli. Istilah-istilah tersebut adalah seperti berikut :-

  1. Pencadang – individu yang menjadi pencadang kepada satu nama calon.
  2. Calon – individu yang menjadi calon dan layak untuk bertanding di dalam pilihanraya.
  3. Penyokong – individu yang menjadi penyokong kepada pencadang untuk pencalonan calon tersebut.

Secara asasnya, sistem ‘Pencalonan’ ini melibatkan beberapa fasa. Fasa-fasa tersebut adalah seperti berikut :-

  1. Pengeluaran senarai nama ahli PERUBATAN yang matang keahliannya.
  2. Penjualan borang pencalonan.
  3. Hari pencalonan.
  4. Pengumuman senarai nama calon [fasa pertama].
  5. Kempen dan bantahan.
  6. Pengumuman senarai nama calon [fasa kedua].
  7. Hari pengundian.
  8. Pengumuman keputusan pilihanraya PERUBATAN.

1. PENGELUARAN SENARAI NAMA AHLI PERUBATAN YANG MATANG KEAHLIANNYA.

Maksud keahlian yang matang adalah mereka yang telah berada/belajar di Mesir dalam tempoh setahun sesi PERUBATAN dan telah mengisi borang ahli PERUBATAN. Daripada jumlah semua senarai nama ahli yang telah matang ini, hanya mereka yang telah membayar yuran PERUBATAN sesi lepas sahaja yang layak untuk menjadi pencadang, penyokong serta calon untuk pilihanraya.

Setiausaha Agung PERUBATAN dan Bendahari Kehormat PERUBATAN bertanggungjawab untuk mengemaskini data-data pelajar yang telah matang keahliannya dan telah menjelaskan yuran tahunan PERUBATAN.

Senarai nama yang telah dikemaskini ini akan disiarkan di dalam website JPP, PERUBATAN Online serta emel perubatan_mesir seminggu sebelum tarikh penjualan borang pencalonan. Setiap ahli perlulah memeriksa terlebih dahulu senarai nama ini sebelum proses pilihanraya ini bermula.


2. PENJUALAN BORANG PENCALONAN.

Pada tahun ini, borang-borang pencalonan adalah TERHAD dan akan dijual dengan kadar harga yang telah ditetapkan oleh pihak JPP. Borang-borang ini akan dijual secara siapa cepat dia dapat. Borang-borang ini terbuka kepada semua ahli PERUBATAN yang matang keahliannya [serta telah menjelaskan yuran tahunan PERUBATAN] di seluruh Mesir.

Untuk borang pencalonan jawatan Presiden [lelaki], LIMA borang sahaja yang akan dijual. Setiap borang pencalonan jawatan Presiden ini akan dijual dengan harga LE 10.

Untuk borang pencalonan jawatan Timbalan Presiden 2 [perempuan], LIMA borang sahaja yang akan dijual. Setiap borang ini akan dijual dengan harga LE 10.

Manakala untuk borang jawatan Ahli Jawatankuasa Tertinggi pula, sebanyak 20 borang untuk lelaki dan 20 borang untuk perempuan akan dijual dan setiap satu dijual dengan harga LE 8.

Untuk pencadang pencalonan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden 2, ia dibuka kepada seluruh ahli tidak mengira jantina [ Presiden boleh dicalonkan oleh perempuan dan Timbalan Presiden 2 boleh dicalonkan oleh lelaki]

Manakala untuk pencadang pencalonan jawatan AJKT, lelaki hanya boleh mencalonkan untuk lelaki dan perempuan hanya boleh mencalonkan untuk perempuan.

Borang-borang ini boleh dibeli daripada Pengarah atau Timbalan Pengarah JPP dan akan direkodkan.


3. Hari pencalonan.

Pada hari pencalonan ini, mereka yang telah membeli borang dikehendaki untuk menghantar borang ini di tempat yang telah ditetapkan oleh JPP. Pencadang mestilah hadir bersama dengan calon berserta dengan seorang penyokong untuk menandatangani borang pencalonan di hadapan wakil JPP. Sebarang pembetulan terhadap borang itu mestilah dibuat dihadapan wakil JPP. Borang-borang yang dihantar selepas tamat tempoh yang telah ditetapkan tidak akan dilayan oleh JPP.

Mana-mana individu yang membeli borang serta gagal menghantarnya pada hari pencalonan akan dikenakan denda sebanyak LE 50.


4. Pengumuman senarai nama calon [fasa pertama].

Pengumuman senarai nama calon [fasa pertama] akan dibuat sehari selepas hari pencalonan.


5. Kempen dan bantahan.

Setelah senarai nama calon dikeluarkan, tempoh untuk berkempen bermula. Setiap individu dibenarkan untuk berkempen berdasarkan ketetapan atau syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pihak JPP. Tempoh untuk berkempen bermula daripada pengumuman senarai nama fasa pertama sehingga ke hari pengundian.

Bagi untuk bantahan pula, setiap individu dibenarkan untuk membuat bantahan terhadap seserang calon jika didapati calon tersebut melanggar sebarang syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh JPP. Untuk membuat bantahan, individu dikehendaki membeli borang bantahan dengan harga LE 30. Borang itu mestilah dihantar kepada JPP berserta dengan bukti dan saksi. Pihak JPP akan menyiasat segala dakwaan terhadap seseorang calon tersebut. Jika terbukti calon itu bersalah, secara automatik calon itu akan digugurkan dari senarai nama calon. Jika sebaliknya, pihak JPP akan memaklumkan semula kepada individu yang membantah bahawa bantahannya ditolak. Segala keputusan daripada JPP adalah muktamad.

Borang bantahan dijual bermula daripada pengumuman senarai nama fasa pertama sehingga ke hari pengundian.


6. Pengumuman senarai nama calon [fasa kedua].

Pengumuman senarai nama calon [fasa kedua] akan dibuat sehari sebelum hari pengundian diadakan. Setiap ahli perlulah memeriksan terlebih dahulu senarai nama calon baru ini sebelum hari pengundian diadakan.


7. Hari pengundian.

Hari pengundian akan diadakan di beberapa pusat yang telah ditentukan oleh JPP. Di Kaherah, 2 pusat akan dibuka. Ahli PERUBATAN yang matang boleh memilih untuk membuang undi di mana-mana pusat yang paling hampir.

Bagi cawangan, pusat pengundian untuk pemilihan jawatankuasa induk juga akan dibuka. Namun begitu, hanya perwakilan yang dibenarkan untuk mengundi. Kuota perwakilan bagi setiap cawangan telah ditetapkan oleh JPP dengan menggunakan ratio 60 : 40 untuk jumlah pengundian pada kali ini. 60 adalah untuk ahli di Kaherah dan 40 adalah untuk ahli di semua cawangan.

Kuota perwakilan setiap cawangan = X
Jumlah perwakilan semua cawangan = Y

Y = (jumlah ahli di Kaherah / 60)× 40
X = (Y / jumlah ahli di semua cawangan) × jumlah ahli di cawangan tersebut

Borang pengundian akan disediakan oleh pihak JPP. Borang adalah tidak terhad dan percuma. Tempoh masa yang dibuka untuk proses pembuangan undi akan ditetapkan oleh JPP.


8. Pengumuman keputusan pilihanraya.

Keputusan pilihanraya akan diumumkan sehari atau dua hari selepas hari pengundian. Keputusan daripada JPP adalah muktamad.

Soalan berkaitan Pemilihan boleh diajukan di sini : Soal-Jawab


Semakan terakhir: 28 Oktober 2011

Popularity: 39% [?]

Soalan melalui Shoutbox tidak dijamin akan dijawab. Sila ajukan soalan melalui komen pada post berkaitan atau laman Soal-Jawab di atas.

Gunakan hashtag #JPP2011 supaya Tweet anda muncul di bawah!

    Designed by website templates