Segala puji hanya bagi Allah, Yang Maha Bijaksana, Maha Perkasa dan Maha Pengasih. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta keluarga, para sahabat dan seterusnya atas penerus ajaran Baginda.

 

Kepimpinan merupakan suatu yang asas yang mesti wujud dalam semua kumpulan di mana-mana peringkat. Sama ada melalui pemilihan khas, ataupun memimpin dan terpimpin melalui naluri, maka urusan ini pasti ada bagi menguruskan komuniti yang ada, terlebih penting lagi bagi umat manusia yang hidupnya sentiasa bermasyarakat. Justeru itu, Islam sangat mengambil berat akan urusan ini, hingga dinyatakan melalui sabda Nabi Muhammad SAW, mafhumnya, “Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap daripada kamu dipertanggungjawabkan amanah yang dipimpinnya”.

 

Hal ini dijelaskan lagi oleh Imam Ibnu Taimiyah RA, “Wajiblah diketahui bahawa mentadbir urusan Muslimin merupakan kewajipan agama yang paling besar. Malah urusan agama dan dunia tidak akan dapat dilaksanakan tanpa ada pentadbirannya. Sesungguhnya kemaslahatan anak Adam tidak akan sempurna melainkan dengan perkumpulan, yang mana sebahagiannya pasti berhajat kepada bantuan sebahagian yang lain. Apabila mereka berhimpun, mereka perlu kepada seseorang yang memimpin”.

 

Imam al-Ghazali RA pula yang merupakan cendekiawan Islam yang terkenal kealimannya serta banyak menulis berkenaan tasawuf turut mengambil perhatian terhadap kepimpinan umat Islam ini, bahkan menyebut khusus tentang aspek pemerintahan negara di dalam kitabnya yang berkait dengan akidah, dengan menegaskan:

 

“Agama menjadi asas, kuasa pemerintahan menjadi pengawasnya. Lalu sesuatu itu jika tidak ada asas ia akan menjadi runtuh, dan jika ia tiada pengawas maka hukum agama itu akan menjadi sia-sia sahaja”.

 

Ini menunjukkan betapa pentingnya urusan ini dan sangat dititikberatkan oleh agama.

 

Lumrahnya, perubahan masa akan sentiasa berlalu dan mencipta pelbagai catatan sejarah. PERUBATAN, sebagai wadah kesatuan yang menaungi komuniti pelajar-pelajar sains kesihatan di Mesir juga tidak terlepas daripada hambatan masa yang mendesak kepada silih ganti barisan kepimpinan. Sabda baginda Nabi SAW:

“Apabila tiga orang keluar bermusafir, maka mereka hendaklah melantik seorang daripada kalangan mereka untuk menjadi ketua”. (HR Abu Daud daripada Abu Hurairah RA, No. 2608)

Maka Jawatankuasa Pilihanraya PERUBATAN (JPP) 2018 telah ditubuhkan bagi meneruskan amanah komuniti ini untuk terus terpimpin.

 

  • Jawatankuasa Pilihanraya PERUBATAN (JPP) 2018 adalah sebuah badan bebas yang bernaung di bawah PERUBATAN bertanggungjawab untuk memastikan proses pemilihan kepimpinan komuniti ini, iaitu pemilihan Presiden & Timbalan Presiden sesi 2019/2020, supaya berjalan lancar dan selari dengan konsep demokrasi yang dibenarkan Islam. Justeru, gerak kerja yang amanah, cekap dan telus amat dititikberatkan dalam pergerakan jawatankuasa ini bagi memaksimumkan kualiti hasil yang bakal dikecapi bersama.

 

Pengaktifan Blog:

 

Blog JPP akan diaktifkan agar ahli dapat maklumat berkaitan JPP dan aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan sepanjang pilihan raya Presiden & Timbalan Presiden sesi 2019/2020.

 

Pengumuman Tarikh Penting:

 

Untuk makluman, rangka utama perjalanan pilihan raya Presiden & Timbalan Presiden akan berlangsung berdasarkan tarikh-tarikh yang berikut:

 

6 – 9 Januari 2019 : Penjualan Borang Presiden & Timbalan Presiden

15 Januari : Hari Pencalonan Presiden & Timbalan Presiden

16 Januari : Pengumuman Senarai Calon Presiden & Timbalan Presiden (Fasa I)

18 Januari – 11 Februari : Tempoh Kempen dan Bantahan Calon Presiden & Timbalan Presiden

11 Februari : Pengumuman Senarai Calon Presiden & Timbalan Presiden (Fasa II)

14 Februari : Tempoh Bertenang

15 Februari : Hari Pengundian

16 Februari : Pengumuman Keputusan

 

Kelayakan Pengundi:

 

Pengundi bagi calon Presiden & Timbalan Presiden hanya terdiri daripada perwakilan Mesyuarat Tahunan Cawangan (MTC) PERUBATAN sahaja.

 

Seruan kepada Ahli:

 

Pilihan raya merupakan wadah kepada ahli untuk melantik pimpinan.Tugas melantik pimpinan merupakan tanggungjawab bersama. Justeru pihak kami menyeru semua ahli PERUBATAN untuk turut serta dan sama-sama melibatkan diri sepanjang berlangsungnya proses pilihan raya pada bulan ini.

 

Kuasa pilihan di tangan anda. Sentiasalah amanah dalam mengendalikannya.

Wallahu taala a’lam.

 

 

 

#PERUBATANKelasPertama

 

“Berkat, Telus dan Cekap”

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

“at-Taqwa, as-Syifa’, ar-Rahmah”

 

 

 

 

 

 

 

 

Umar Hanis bin Ahmad Sukri Hamidi,

Pengarah,

Jawatankuasa Pilihan Raya PERUBATAN (JPP) 2018,
PERUBATAN 2018/2019.