Segala puji hanya bagi Allah, Yang Maha Bijaksana, Maha Perkasa dan Maha Pengasih. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta keluarga, para sahabat dan seterusnya atas penerus ajaran Baginda.

Kepimpinan merupakan suatu asas yang mesti wujud dalam semua kumpulan di mana-mana peringkat. Sama ada melalui pemilihan khas, ataupun memimpin dan terpimpin melalui naluri, maka urusan ini pasti ada bagi menguruskan komuniti yang ada, terlebih penting lagi bagi umat manusia yang hidupnya sentiasa bermasyarakat. Justeru itu, Islam sangat mengambil berat akan urusan ini, hingga dinyatakan melalui sabda Nabi Muhammad SAW, mafhumnya, “Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap daripada kamu dipertanggungjawabkan amanah yang dipimpinnya”.

Hal ini dijelaskan lagi oleh Imam Ibnu Taimiyah RA, “Wajiblah diketahui bahawa mentadbir urusan Muslimin merupakan kewajipan agama yang paling besar. Malah urusan agama dan dunia tidak akan dapat dilaksanakan tanpa ada pentadbirannya. Sesungguhnya kemaslahatan anak Adam tidak akan sempurna melainkan dengan perkumpulan, yang mana sebahagiannya pasti berhajat kepada bantuan sebahagian yang lain. Apabila mereka berhimpun, mereka perlu kepada seseorang yang memimpin”.

Imam al-Ghazali RA pula yang merupakan cendekiawan Islam yang terkenal kealimannya serta banyak menulis berkenaan tasawuf turut mengambil perhatian terhadap kepimpinan umat Islam ini, bahkan menyebut khusus tentang aspek pemerintahan negara di dalam kitabnya yang berkait dengan akidah, dengan menegaskan:

“Agama menjadi asas, kuasa pemerintahan menjadi pengawasnya. Lalu sesuatu itu jika tidak ada asas ia akan menjadi runtuh, dan jika ia tiada pengawas maka hukum agama itu akan menjadi sia-sia sahaja”.

Ini menunjukkan betapa pentingnya urusan ini dan sangat dititikberatkan oleh agama.

Lumrahnya, perubahan masa akan sentiasa berlalu dan mencipta pelbagai catatan sejarah. PERUBATAN, sebagai wadah kesatuan yang menaungi komuniti pelajar-pelajar sains kesihatan di Mesir juga tidak terlepas daripada hambatan masa yang mendesak kepada silih ganti barisan kepimpinan. Sabda baginda Nabi SAW:

“Apabila tiga orang keluar bermusafir, maka mereka hendaklah melantik seorang daripada kalangan mereka untuk menjadi ketua.” (HR Abu Daud daripada Abu Hurairah RA)

Maka Jawatankuasa Pilihanraya PERUBATAN (JPP) 2018 telah ditubuhkan bagi meneruskan amanah komuniti ini untuk terus terpimpin.

Jawatankuasa Pilihanraya PERUBATAN (JPP) 2018 adalah sebuah badan bebas yang bernaung di bawah PERUBATAN bertanggungjawab untuk memastikan proses pemilihan kepimpinan komuniti ini, iaitu pemilihan Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) sesi 2019/2020 bagi PERUBATAN Cawangan (PC) yang berkenaan, supaya berjalan lancar dan selari dengan konsep demokrasi yang dibenarkan Islam. Justeru, gerak kerja yang amanah, cekap dan telus amat dititikberatkan dalam pergerakan jawatankuasa ini bagi memaksimumkan kualiti hasil yang bakal dikecapi bersama.

SISTEM PEMILIHAN

Pada tahun ini, pemilihan Majlis Tertinggi PERUBATAN (MTP) dibuat melalui Majlis Mesyuarat Pemilihan PERUBATAN (MMPP), manakala pemilihan Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan bagi tiga cawangan besar iaitu Azhar, Mansurah dan Iskandariah akan menggunakan sistem pencalonan sebagaimana yang telah diamalkan tahun-tahun sebelum ini. Melalui sistem ini, calon yang layak bertanding perlulah mendapat cadangan dan sokongan daripada individu yang lain. Ahli PERUBATAN juga akan melalui beberapa fasa pilihan raya. Bermula dengan fasa pencalonan, fasa kempen dan bantahan dan akhirnya fasa pengundian.

Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa Pilihanraya PERUBATAN Cawangan (JPC) akan dibahagikan mengikut PERUBATAN Cawangan (al-Azhar, Iskandariah, Mansurah) bagi memastikan proses pilihan raya yang dijalankan pada tahun ini lebih selaras dan tersusun di ketiga-tiga cawangan. Bagi cawangan yang menggunakan sistem Majlis Mesyuarat Pemilihan Cawangan (MMPC), wakil JPC (Ain Shams, Kaherah, Zagazig, Tanta) yang terlibat pula berperanan sebagai penyebar maklumat dan pengisian yang berkenaan.

PENGUMUMAN NAMA PENGARAH DAN TIMBALAN PENGARAH JPC BAGI CAWANGAN YANG MENGGUNAKAN JPC:

PERUBATAN Cawangan al-Azhar:
Pengarah: Muhammad Za’im bin Mohd Zaini
Timbalan Pengarah: Tasneem binti Hamzah

PERUBATAN Cawangan Iskandariah:
Pengarah: Afnan Mifdhal bin Abdullah Zawawi
Timbalan Pengarah: Maryam Zahirah binti Ahmad Zairin

PERUBATAN Cawangan Mansurah:
Pengarah: Aiman Azamuddin bin Aminuddin
Timbalan Pengarah: Nur Faaiqa Nadhirah binti Md Pazin

PENGARAH DAN TIMBALAN PENGARAH JPC BAGI CAWANGAN YANG MENGGUNAKAN MMPC:

PERUBATAN Cawangan Kaherah:
Pengarah: Muhamad Hakimi bin Mohd Budi
Timbalan Pengarah: Nik Nurin Nadiah binti Nik Ahmad Rizal

PERUBATAN Cawangan Ain Shams:
Pengarah: Muhammad ‘Abqori bin Azmi
Timbalan Pengarah: Irshafinah binti Jamaluddin

PERUBATAN Cawangan Tanta:
Pengarah: Nurul Nadia binti Mohamad Zain

PERUBATAN Cawangan Zagazig:
Pengarah: Mohamad Hirzi Hazim bin Mohd Zahariman
Timbalan Pengarah: Nurzarin Farah Wahida binti Maulani

Seruan kepada Ahli,

Pilihan raya merupakan wadah kepada ahli untuk melantik pimpinan.Tugas melantik pimpinan merupakan tanggungjawab bersama. Justeru pihak kami menyeru semua ahli PERUBATAN untuk turut serta dan sama-sama melibatkan diri sepanjang berlangsungnya proses pilihan raya pada bulan ini.

Kuasa pilihan di tangan anda. Sentiasalah amanah dalam mengendalikannya.

Wallahu taala a’lam.

#PERUBATANKelasPertama
#MemimpinGelombangISLAH

“Berkat, Telus dan Cekap”
“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”
“at-Taqwa, as-Syifa’, ar-Rahmah”

 

 

 

 

 

 

 

Umar Hanis bin Ahmad Sukri Hamidi,

Pengarah,

Jawatankuasa Pilihan Raya PERUBATAN (JPP) 2018,
PERUBATAN 2018/2019.