KONSEP PIMPINAN DAN KEPIMPINAN BERLANDASKAN ISLAM

Oleh:
Nik Nurin Nadiah, JPC Kaherah

 

Kepimpinan atau pemerintahan dalam Islam adalah alat dan bukan sebagai tujuan. Pemimpin perlu dipimpin oleh ilmu, iman dan amal untuk menjadikan kepimpinannya sebagai alat yang aktif bagi merealisasi tujuan untuk membela agama dan mengurus dunia. Lantaran itu, Islam meletakkan kepimpinan di tempat yang tinggi.

 

”Khalifah” adalah istilah yang ditujukan kepada manusia untuk memikul tanggungjawab di muka bumi ini. Pengetahuan manusia tentang diri sendiri, alam sekitar, sejarah dan masyarakat semuanya mesti diarah untuk meningkatkan iman dan amal soleh. Sebagai khalifah di muka bumi, manusia terikat dengan tiga bentuk hubungan:

  1. Hubungan manusia dengan Allah
  2. Hubungan manusia dengan diri sendiri
  3. Hubungan antara manusia dan manusia

 

SUMBER KEPIMPINAN ISLAM

 

Sumber kepimpinan Islam ialah al-Quran dan as-Sunnah. Pemimpin Islam hendaklah mengetahui, memahami dan mengamalkan segala dasar ajaran Islam pada setiap masa dan tempat. Surah an-Nisa’ ayat 58-59 telah menjadi asas seluruh sistem agama, kebudayaan dan siasah Islam. Ayat ini menggariskan empat perkara yang diberi keutamaan:

  1. Allah sebagai kemuncak pimpinan yang wajib ditaati.
  2. Kesetiaan dan ketaatan kepada Rasulullah S.A.W.
  3. Ketaatan dan kesetiaan para muslimin kepada ulil ‘amri
  4. Mengiktiraf al-Quran dan as-Sunnah sebagai perundangan utama masyarakat islam

 

 

Islam menganggap kepimpinan adalah taklif dan bebanan tanggungjawab , bukan satu tasyrif ataupun keistimewaan. Pemimpin diibaratkan sebagai pengembala yang akan diminta tanggungjawab di atas gembalaannya (Hadis Rasulullah S.A.W. diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim).

 

Konsep Kepimpinan Islam dapat dirumuskan seperti berikut:

  1. Berteraskan konsep khalifah Allah S.W.T. Setiap manusia (muslim mukmin) adalah pemimpin yang bertanggungjawab memimpin dirinya, keluarganya serta ahli-ahli di bawah jagaannya. [66:6]
  1. Konsep kepimpinan dihubungkan dengan tugas menegakkan amar ma`ruf nahyul mungkar yang merangkumi semua perkara yang dituntut dan diharuskan oleh syarak adalah meliputi soal-soal akidah, syariah, akhlak yang membawa manusia kepada kesejahteraan kehidupan sekaligus mencegah yang buruk, keji dan mungkar.
  1. Kepimpinan Islam digerakkan oleh ilmu, iman dan amal soleh yang diterasi oleh keikhlasan dalam semua bentuk tindakan yang diambil, sama ada dalam bidang ekonomi, sosial, politik, kebajikan dan lain lain. Tidak ada istilah “tindakan menghalalkan cara” dalam kepimpinan Islam.
  1. Kepimpinan bukan sesuatu jawatan yang boleh dijadikan bahan rebutan. Malahan bukan untuk dipohon atau menawar diri untuk menjawat sesuatu jawatan. Ia bukan suatu perkara dan tidak dimonopoli oleh satu-satu kaum, ras, bangsa atau keturunan.
  1. Melantik pemimpin adalah satu kewajipan umat Islam.
  1. Kepimpinan dalam Islam mencakupi urusan dunia dan akhirat. Pemimpin Islam perlu insaf dan menyedari bahawa setiap tanggungjawab akan dipersoalkan bukan sahaja di dunia, malah di akhirat.
  1. Tidak ada pemujaan terhadap pemimpin dan tidak ada konsep ma`sum dalam kepimpinan Islam.
  1. Kepimpinan Islam menganjurkan kepatuhan bersyarat. Seseorang itu tidak perlu patuh, malah wajib ingkar sekiranya pemimpinnya menyeleweng atau melakukan perkara yang melanggar perintah Allah S.W.T.
  1. Kepimpinan Islam beroperasi di atas dasar syura. Pemimpin hendaklah mengadakan mesyuarat (syura) dengan orang yang dipimpinnya kerana matlamat kepimpinan Islam adalah untuk memastikan kewujudan dan keterusan jemaah atau umat Islam pada setiap masa.
  1. Pemimpin yang dipilih mestilah menepati kriteria jawatan atau tugas yang akan dilaksanakan dari segi tanggungjawab dan kemahiran.

 

KRITERIA PEMILIHAN PEMIMPIN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

Pemilihan pemimpin untuk sesuatu jawatan perlu dilakukan dengan teliti kerana kepimpinan perlu memiliki dua rukun, iaitu quwwah dan amanah.

Quwwah menurut syara’: merujuk bidang tugas yang diberikan.

Quwwah secara umum: kekuatan atau kemampuan melaksanakan tugas dalam pelbagai bidang fikiran, kerohanian, jasmani, keorganisasian, akhlak, peribadi yang perlu ada pada diri pemimpin untuk menjayakan kepimpinannya.

Amanah pula, diterasi oleh 3 perkara, iaitu takutkan Allah, tidak menjual ayat Allah untuk mendapat habuan dunia, dan tidak takutkan manusia.

 

Syarat-syarat pemilihan pemimpin yang disepakati oleh ulama, antaranya ialah:

  1. Muslim akil baligh dan lelaki
  2. Adil dalam melaksanakan hak hak Allah
  3. Berilmu
  4. Mempunyai kemampuan dalam menyelesaikan masalah
  5. Beradab mengikut akhlak Islam
  6. Sempurna pancaindera dan sihat tubuh badan

 

KESIMPULAN

Kepimpinan yang berkesan diukur dengan bertambahnya yang makruf dan berkurangnya yang mungkar di kalangan masyarakat. Kepimpinan Rasulullah S.A.W.. yang telah diteladani oleh para Khulafa ar-Rasyidin adalah berteraskan kebersihan jiwa, keikhlasan dan pengabdian sepenuhnya kepada Allah S.W.T. Kunci kekentalan peribadi dan kepimpinan mereka adalah berpegang teguh kepada al-Quran, melakukan segala tindakan semata-mata untuk Allah, melakukan hanya amalan-amalan yang diredai Allah S.W.T., sentiasa mengingati Allah, memikirkan tentang mati, tentang azab kubur dan tentang syurga dan neraka, memperbaiki ibadah, membanyakkan amalan-amalan sunnah dan tidak meninggalkan sembahyang-sembahyang malam khususnya tahajjud.

 

Sumber:
Artikel-PEMIMPIN DAN KEPIMPINAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM oleh Omar bin Abdul