Firman Allah SWT dalam Surah Al-Qasas: ayat ke-26, maksudnya,

Salah seorang antara kedua-dua perempuan itu berkata, “Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang kamu ambil bekerja ialah orang yang kuat lagi amanah”.

Kita sedia maklum tampuk kepimpinan Persatuan Pelajar-pelajar Sains Kesihatan Malaysia-Mesir (PERUBATAN) sentiasa berubah dari tahun ke tahun. Alhamdulillah, seperti yang dirancang sebelum ini, semua ahli PERUBATAN telah pun selesai pilihan raya umum PERUBATAN bagi pemilihan Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN di setiap cawangan serta pemilihan Ahli Majlis Tertinggi PERUBATAN (MTP) pada bulan Disember 2017 yang lalu. Kini PERUBATAN yang telah pun melangkah tahun yang ke -16 penubuhannya, bakal memerlukan seorang ketua untuk terus mengemudi bahtera kesatuan ini pada sesi akan datang.

PILIHAN RAYA PRESIDEN & TIMBALAN PRESIDEN PERUBATAN SESI 2018/2019

Secara asasnya, proses pilihan raya pada kali ini adalah sama seperti proses pilihan raya umum PERUBATAN Cawangan masing-masing iaitu penggunaan ‘Sistem Pencalonan’ sebagaimana yang telah diamalkan sebelum ini. Melalui sistem ini, calon yang layak bertanding perlulah dicadangkan dan disokong oleh dua orang individu lain untuk melayakkannya bertanding. Bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PERUBATAN, pencalonan hanya terbuka dalam kalangan ahli MTP lelaki dan perempuan sahaja. Sepanjang tempoh pilihan raya ini, ahli PERUBATAN akan melalui beberapa fasa, iaitu fasa pencalonan, fasa kempen dan bantahan, dan diakhiri dengan hari pengundian.

PENGUMUMAN TARIKH-TARIKH PENTING

Justeru setelah diteliti, maka tarikh-tarikh penting bagi setiap agenda pilihan raya kali ini adalah seperti berikut:

  • Penjualan Borang Pencalonan: 16 – 20 Januari 2018
  • Hari Pencalonan: 20 Januari 2018
  • Pengumuman Senarai Calon Fasa I: 21 Januari 2018
  • Tempoh Berkempen: 21 Januari – 15 Februari 2018
  • Tempoh Bantahan: 21 Januari – 12 Februari 2018
  • Pengumuman Senarai Calon Fasa II: 12 Februari 2018
  • Tempoh Bertenang: 15 Februari 2018
  • Hari Pengundian: 16 Februari 2018
  • Pengumuman keputusan: 17 Februari 2018

Sehubungan dengan itu, borang pencalonan boleh didapati dengan menghubungi Pengarah atau Timbalan Pengarah JPP 2017 dalam tempoh yang telah ditetapkan. Boleh hubungi di talian berikut:

Pengarah: Muhammad Faris bin Deraman
+20 101 918 2665

Timbalan pengarah: Halimatun Arwa binti Yaakub
+201159646729
+60199023235 (whatsapp)

KELAYAKAN MENGUNDI DAN PUSAT PENGUNDIAN

Setelah berlaku perbincangan di peringkat penasihat pusat dan JPP, maka diputuskan bahawa sesi pemilihan kali ini adalah sama seperti sesi lepas iaitu hanya perwakilan Mesyuarat Tahunan Cawangan (MTC) sahaja yang akan terlibat dalam proses pemilihan kali ini. Oleh itu, setiap ahli PERUBATAN diseru untuk sama-sama mendaftar untuk menjadi perwakilan MTC yang akan datang.

Berdasarkan ketetapan di atas, pusat pengundian hanya akan dibuka di cawangan masing-masing dan akan berlangsung bawah pengendalian Jawatankuasa Pilihan Raya PERUBATAN (JPP) dengan kerjasama Jawatankuasa Pilihan Raya PERUBATAN Cawangan (JPC). Oleh itu, besarlah harapan kami kepada setiap perwakilan MTC agar memanfaatkan keistimewaan yang akan diberikan.

SERUAN DAN AMANAH UNTUK AHLI

Saidina Umar R.A pernah berkata, “Tiada islam tanpa jamaah, tiada jamaah tanpa kepimpinan dan tiada kepimpinan tanpa taat”. Tugas melantik seorang ketua merupakan tanggungjawab dan amanah bagi ahli dalam sesebuah organisasi. Ketahuilah bahawasanya amanah ini terletak di atas bahu setiap daripada kita untuk memilih ketua yang mampu untuk memimpin ke jalan yang diredhai Allah SWT. Justeru itu, pihak kami menyeru semua ahli PERUBATAN untuk turut melibatkan diri dan sama-sama mengambil peluang mengenali calon yang bertanding selain berkempen dengan baik sepanjang berlangsungnya proses pilihan raya ini.

Akhir kata, kami pihak JPP meletakkan harapan yang cukup tinggi terhadap semua ahli PERUBATAN di seluruh Mesir agar dapat memberikan sokongan dan kerjasama yang padu bagi menjayakan Pilihan Raya Presiden & Timbalan Presiden PERUBATAN yang akan berlangsung kelak. Sama–sama kita doakan agar perjalanan pilihan raya ini akan diredhai oleh Allah dan berjalan lancar serta hasilnya memberi banyak manfaat kepada kita semua warga PERUBATAN.

Kuasa di tangan anda, sentiasalah beramanah dalam mengendalikannya.

Wallahu ta’ala a’lam.
Sekian, terima kasih

“Berkat, Telus dan Cekap”

 

 

 

 

 

 

 

Muhammad Faris bin Deraman
Pengarah,
Jawatankuasa Pilihan Raya PERUBATAN (JPP) 2017