“ Menyelusuri Sirah Nabawiyyah;Teladan Sepanjang Zaman “

Khutbah Terakhir Baginda Rasulullah S.A.W

Seluruh umat Islam berkumpul di padang Arafah pada Jumaat itu, disaat musim Haji Penghabisan (Hajjatul Wada’). Keterujaan timbul di wajah-wajah insan yang telah berjanji meletakkan Allah SWT dan Rasul SAW sebagai cinta utama. Di dalam hati, tiada apa yang mampu menggoyahkan lagi keyakinan. Segala-galanya demi Allah dan Rasul. Maka apa sahaja kalam yang bakal terlantun dari bibir Baginda Yang Mulia itu adalah sesuatu yang amat dinantikan malahan lebih utama dari dunia dan seisinya.
Saat itu,turunlah wahyu kalam mulia dari Ilahi Surah al-Maidah ayat ke 3:
Maksudnya: “Pada hari ini Aku (Allah) telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah sempurnakan untuk kamu nikmat-Ku dan Aku telah relakan Islam sebagai agama kamu”.
Mendengar sabda Baginda, para sahabat berpelukan dengan gembira bersama linangan air mata bahagia. “Agama kita telah sempurna. Agama kita telah sempurna…..”
Dan, tanpa mereka sedari, ada sahabat Nabi yang telah mendapat isyarat dengan lebih jelas. Teresak-esak beliau menangis berserta dada yang berombak kencang bercampur kepedihan dek kerana dahsyatnya kesedihan yang dirasai. Saat perpisahan itu bakal berlaku. Suatu kehilangan yang bakal menggoncangkan seisi dunia akan tiba…

Berkata Saidina Abu Bakar RA: “Wahai para sahabatku, kamu semua tidak tahu tentang musibah yang menimpa kamu, tidakkah kamu tahu bahawa apabila sesuatu perkara itu telah sempurna, maka akan kelihatanlah kekurangannya. Dengan turunnya ayat tersebut, ia menunjukkan perpisahan kita dengan Rasulullah SAW. Saidina al-Hassan dan al-Hussin RA menjadi menjadi yatim piatu dan para isteri nabi menjadi janda.”

Usai mendengar penjelasan Saidina Abu Bakar RA,barulah mereka sedar akan kata-kata tersebut dan menangislah mereka sekuat-kuatnya.

Menyingkap Tirai Emas Sirah Nabawiyyah: Proses Pemilihan Kepimpinan

Jika disingkap kembali sejarah 1400 tahun lalu, Umat Islam seakan tergamam seketika dengan situasi yang berlaku. Siapakah agaknya yang bakal menjadi pengganti setelah baginda Rasul wafat, kerana sepanjang hayat, tidak pernah sekalipun baginda memberi bayangan siapa kelak bakal mengambil alih posisi baginda sebagai ketua negara, ketua agama dan sekaligus sebagai pemimpin utama umat Islam.

Peristiwa pemilihan khalifah pertama dunia Islam selepas Rasulullah S.A.W wafat dilihat sebagai sesuatu yang baharu dalam catatan ummah di mana umat Islam sepertinya perlu ‘berdikari’ dalam menentukan siapakah selayaknya yang akan menjadi pengganti Baginda.

Namun, dengan kebijaksanaan para sahabat, maka peristiwa pemilihan khalifah pertama Khulafa’ ar- Rasyidin itu tetap menjadi ‘malar segar’ dalam catatan sejarah umat Islam. Meskipun proses pemilihan bukanlah seperti pilihanraya yang dilakukan pada hari ini, namun ia cukup untuk menjadi panduan buat kita hari ini dalam mengikuti arus pemilihan kepimpinan yang selari dengan syariat dan bersandarkan iman, bukan mengejar jawatan.

Kempen Dalam Menentukan Calon Terbaik: Teladan dari Baiah di Saqifah Bani Sa’adah

Dalam usaha untuk melantik pimpinan baharu, para sahabat dari golongan Ansar (penduduk asal kota Madinah) berkumpul di tempat bernama Saqifah Bani Sa’adah. Mereka berbincang untuk melantik ketua bagi menguruskan kematian Rasullullah. Ketua ini juga secara tidak langsung dilihat menjadi ketua umat Islam.

Dipetik daripada sebuah kitab khusus yang ditulis oleh Syeikh Mahmud Abdul Fattah Sharifuddin, seorang Profesor Sejarah Islam dan merupakan dekan Universiti al-Azhar yang mana kitab ini menyentuh secara khusus berkaitan pemilihan Saidina Abu Bakar RA sebagai pemimpin di Saqifah Bani Sa’adah; kaum Ansar dan Muhajirin telah berkumpul dan mengadakan Majlis Syura di Saqifah Bani Sa’adah untuk mencari pemimpin yang layak menggantikan Rasulullah SAW. Dua pemimpin Ansar dicalonkan iaitu Said bin Ubadah dan Abu Ubaidah al-Jarrah RA. Kumpulan Muhajirin juga mencalonkan dua wakil iaitu Abu Bakar as-Siddiq dan Umar al-Khattab. Menurut Ibnu Ishak pada peringkat awal berlaku ketegangan antara golongan Ansar dan Muhajirin dalam proses pemilihan pengganti itu.
Bagaimanapun dengan kebijaksanaan dan semangat keislaman yang tinggi maka Majlis Syura bersetuju memilih Saidina Abu Bakar RA sebagai Khalifah pertama. Kumpulan Ansar dan Muhajirin berikrar mematuhi (berbaiah) kepimpinan Khalifah Abu Bakar RA.

Apa yang boleh kita ambil sebagai pengajaran, walaupun pada permulaannya berlaku sedikit ketegangan dalam proses pemilihan kepimpinan, namun kemudiannya pertemuan dan perbincangan itu menjadi lebih matang dan harmoni kerana di samping mengeluarkan hujah kelayakan di pihak masing-masing untuk memegang tampuk pimpinan, mereka tidak menafikan kelebihan dan kebaikan yang ada pada pihak lawan.

Dalam proses pemilihan itu, usai pihak Ansar berpidato mengetengahkan calon pilihan mereka, tampil Saidina Abu Bakar RA mewakili pihak Muhajirin. Dalam pidatonya yang penuh kelembutan dan kasih sayang, Saidina Abu Bakar RA menyebut kebaikan-kebaikan kaum Ansar dan jasa mereka dalam mempertahankan dan seterusnya mengembangkan Islam sejak hijrah hinggalah ke hari ini. Jihad dan pengorbanan mereka bersama-sama kaum Muhajirin di dalam perang Badar, Uhud dan lain-lain tidak akan pernah dinafikan dan tidak ada seorang pun dari kalangan orang-orang Muhajirin yang tidak terhutang budi pada orang Ansar dan berbagai-bagai kebaikan lain. Tetapi di atas semua kebaikan yang dilakukan saudara Ansar, masih ada sebab kenapa selayaknya calon dari Muhajirin yang mengetuai kepimpinan. Hal ini kerana orang Quraisy lah yang banyak mencorakkan adab dan politik dalam kalangan bangsa Arab. Maka sudah tentu sahabat Muhajirinlah yang lebih memahami gerak laku kaum Quraisy yang berpengaruh itu.

Maka berakhirlah pemilihan itu secara aman dan bijaksana di mana Saidina Abu Bakar RA diangkat menjadi pemimpin dan para sahabat memberikan baiah (janji setia) kepada beliau demi Allah dan Rasul.

Pilihanraya dan Kempen: Pastikan adab dan syariat dibawa seiring

Dalam setiap pilihanraya, sudah semestinya masing-masing pihak perlu berkempen bagi menaikkan calon dan juga memberi nafas pada suasana pilihan raya itu sendiri. Namun adakah itu bermakna kita dibolehkan melanggar segala macam tatacara, hukum hakam dan etiket yang telah digariskan oleh Islam? Atau hukum syariah dilonggarkan sedikit sepanjang fatrah berkempen ini semata-mata bagi mengangkat populariti calon pilihan masing-masing. Kaedah fikah sentiasa menggariskan bahawa ‘matlamat tidak menghalalkan cara’.

Pilihanraya yang sedang hangat berlangsung ketika ini di peringkat PERUBATAN perlulah dilihat pada kaca mata yang meletakkan nilai Islam sebagai asas utama.

Sebagaimana dasar PERUBATAN itu yang berteraskan al-Quran dan as-Sunnah, maka acuan pimpinan yang bakal dilahirkan perlulah berasaskan cara yang betul. Tidak hanya berfokus pada calon yang bakal dinaikkan, mereka yang berkempen dan menyokong juga ada batas-batas syariah yang perlu dipatuhi. Hanya kerana pilihan raya, jangan pula tautan ukhuwwah ini menjadi goyah kerana KESATUAN adalah agenda kita yang utama. Maka tidak salah kalau kita berkempen mengikut cara para sahabat RA. Yang pasti apa jua yang kita lakukan, Islam perlulah diletakkan di hadapan.

Justeru marilah sama-sama kita hangatkan lagi fasa Pilihanraya yang sedang berlangsung. Berada dalam kepimpinan itu sendiri adalah sunnah Baginda SAW yang mesti kita teladani. Diharapkan dengan pengalaman yang kita dapat dengan menceburkan diri dalam suasana pilihanraya peringkat mahasiswa akan membuka ruang dan minda serta pengalaman buat diri kita untuk beraksi pada ruang yang lebih luas suatu hari nanti.

Seeru ‘ala barakatillah

Disediakan Oleh:
Unit Promosi JPC Zagazig 17