Menelusuri Perjalanan Sirah Kerasulan Nabi Muhammad SAW

Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapak dari seorang laki-laki di antara kamu, tetapi dia adalah Rasulullah dan penutup nabi-nabi. Dan adalah Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.
(al-Ahzab:40)

Tahun Kesedihan Rasulullah & Hijrah ke Taif

Abu Talib, bapa saudara Rasulullah SAW telah meninggal dunia pada tahun ke-10 kerasulan. Abu Talib semasa hayatnya sentiasa mempertahankan anak saudaranya sehinggakan kaum Quraisy tidak dapat menyakiti Nabi Muhammad SAW kerana mereka hormat dan gerun kepadanya. Apabila beliau meninggal dunia, Kaum Quraisy mula berani bertindak kasar terhadap Nabi Muhammad SAW.

Saidatina Khadijah RA juga meninggal dunia pada tahun yang sama. Saidatina Khadijah merupakan insan yang berperanan meringankan kerungsingan dan kesedihan Rasulullah SAW ketika menghadapi tentangan kaum Quraisy.

Apabila ancaman kaum Quraisy semakin hebat, baginda membuat keputusan berhijrah ke Taif dengan harapan akan mendapat sambutan yang baik dan sokongan daripada bani Thaqif . Namun, mereka menolak dakwah baginda secara kasar. Mereka menghantar kanak-kanak untuk menyakiti baginda. Kanak-kanak tersebut telah melontar batu ke arah baginda sehingga darah mengalir daripada kedua belah kaki baginda yang suci.

Saidina Zaid bin Harithah pula membentengkan badan Rasulullah SAW dengan dirinya sendiri sehingga luka kepalanya. Akhirnya baginda SAW pulang dari Taif dalam keadaan dakwahnya tidak mendapat sebarang sokongan daripada kaum Thaqif.

Setelah itu, baginda terpaksa berlindung di tepi tembok kepunyaan Utbah dan Syaibah, dua orang anak lelaki Rabi’ah. Tembok berkenaan jaraknya tiga batu dari Taif. Di situ Rasulullah menyandarkan dirinya lalu berdoa kepada Allah, doa itu membayangkan isi hati Rasulullah SAW yang penuh dukacita setelah apa yang dihadapinya ketika di Taif.

Setelah diperhati oleh dua orang anak Rabi’ah, mereka menyuruh hamba yang bernama Addas untuk memberi segugus buah anggur. Apabila Addas menghidangkan anggur itu kepada Rasulullah SAW, baginda memulakannya seraya berkata: Bismillah.

Ucapan basmalah itu menarik perhatian Addas kerana tiada sesiapa dalam kalangan kaum itu mengucapkan kalimah seperti itu. Seketika itu juga, Rasulullah mengambil kesempatan untuk  beramah mesra dengan menanyakan asal usul dan agamanya. Cara perkenalan itu membuatkan Addas semakin tertarik untuk memeluk Islam . Akhirnya Addas memeluk Islam.

Pengajaran dan pedoman

1. Kesedihan kerana kehilangan seorang ahli keluarga yang berperanan melindungi dakwah walaupun dia tidak beriman merupakan kesedihan yang terbit daripada keikhlasan berdakwah.

Sementara kesedihan terhadap kehilangan seorang isteri yang beriman dan ikhlas terbit daripada rasa setia kepada seorang isteri yang telah menjadi contoh dalam pengorbanan dan sokongan.

Namun kesedihan – kesedihan itu tidak pernah mematahkan semangat baginda untuk meneruskan dakwahnya ke Taif. Baginda tetap meneruskan matlamat dan perjuangan dakwahnya dengan penuh semangat.

Oleh itu, kita sebagai penyambung perjuangan Rasulullah, jangan pernah berputus asa dengan cabaran-cabaran yang membuat kita sedih dan melemahkan langkah kita. Sekiranya kita mempunyai sokongan dan dokongan daripada orang sekeliling, yakinlah Allah sentiasa memberi pertolongan kepada kita. Itu janji Allah.

2. Pemergian Rasulullah ke Taif setelah penduduk Mekah menolak dakwahnya merupakan bukti kepada tekad dalam jiwa Rasulullah untuk meneruskan dakwahnya.

Ia juga merupakan bukti sikap tidak putus asa Nabi Muhammad SAW terhadap penerimaan orang ramai kepada dakwahnya. Baginda terus            mencari medan baru untuk berdakwah setelah mendapat pelbagai halangan yang menyekat dakwah di medan pertama (kota Mekah) .

3. Peristiwa kaki Nabi Muhammad SAW luka mengalirkan darah sedangkan Baginda ialah Nabi Muhammad SAW yang mulia, menjadi contoh penting kesakitan dan penderitaan yang ditanggung oleh pendakwah di jalan Allah.

Kita sebagai seorang pemimpin perlu berjiwa besar dan bersiap sedia untuk menempuh pelbagai onak dan duri yang sentiasa ada sepanjang kita menjalankan amanah sebagai pemimpin kerana sememangnya perjalanan ini tidak dibentangkan dengan karpet merah.

Amanah itu berat , penuh onak dan duri kerana syurga itu mahal.

4. Sebagai seorang pemimpin dan pendakwah terutamanya, kebergantungan kita mestilah hanya kepada Allah. Hubungan dengan Allah perlu dititikberatkan kerana hanya kepada Allah tempat kita memohon pertolongan dan mengadu segala penderitaan yang kita hadapi.

Bangun malam dan bermunajat pada satu pertiga malam perlu menjadi kebiasaan bagi seorang pemimpin kerana ia merupakan bekalan kekuatan untuk menempuh hari-hari yang penuh mencabar.

5. Strategi perkenalan Rasulullah dengan Addas membuktikan dalam kita berusaha mengajak orang untuk mengikuti ajaran Islam yang mulia, taaruf dan akhlak Islam merupakan metod yang paling penting dalam menyampaikan dakwah dengan berkesan.

Oleh itu, seorang pemimpin perlu mempunyai ciri-ciri sebagai seorang yang “mesra rakyat “  atau “ mesra ahli. Seorang pemimpin perlu mahir dalam berkomunikasi bagi memudahkan penyampaian maklumat dan arahan kepada semua orang yang kita pimpin. Secara tidak langsung, mereka akan mudah untuk mentaati dan mengikuti segala arahan kita.

Selain itu , akhlak Islam perlu menjadi peribadi seorang pemimpin kerana peribadi pemimpin akan menjadi perhatian dan ikutan semua orang. Keperibadian Rasulullah sebagai seorang pemimpin yang terunggul perlu dicontohi.

Unit Penerangan JPC Kaherah 2016