KEPEMIMPINAN merupakan salah satu aspek yang dianggap sangat penting dalam Islam. Pemimpin merupakan salah satu pengaruh yang sangat besar terhadap kehidupan masyarakat. Hadis Nabi SAW berikut merupakan salah satu bukti Islam memandang berat kepada persoalan kepemimpinan ini.

Nabi SAW bersabda:

“Jika ada tiga orang bermusafir, hendaknya mereka mengangkat salah seorang di antara mereka menjadi pemimpinnya.”

(HR Abu Daud dari Abu Hurairah).

Hadis ini menjelaskan bagaimana dalam sesebuah kelompok Muslim sama ada besar atau kecil, Nabi SAW memerintahkan seorang Muslim agar memilih dan mengangkat salah seorang di antara mereka sebagai pemimpin.

SEJARAH KHALIFAH & SISTEM PEMILIHAN KHALIFAH

Pada zaman Rasulullah SAW, baginda merupakan pemimpin masyarakat dan negara. Baginda memegang dua kekuasaan iaitu kekuasaan agama dan kekuasaan dunia. Sebagai pemimpin agama, beliau menerima syariat (wahyu) daripada Allah SWT dan sebagai pemimpin dunia (politik) baginda melaksanakan syariat itu. Setelah kewafatan Rasulullah SAW, tugas kepimpinan baginda diganti oleh khalifah (pengganti Nabi). Ada pun gelaran ‘ar-Rasyidin’ yang diberikan kepada Khalifah Abu Bakar al-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman bin Affan dan Ali bin Abu Talib, kerana mereka dipandang sebagai khalifah yang sempurna dan diberi petunjuk untuk melaksanakan syariat Islam dengan ikhlas.

Pada dasarnya terdapat dua aliran yang besar mengenai masalah penjawatan khalifah selepas kewafatan Rasulullah. Aliran pertama mereka berpendapat bahawa jawatan ini haruslah dipegang oleh keturunan tertentu manakala bagi aliran kedua mereka berpendapat bahawa jawatan ini tidaklah harus dipegang oleh sesuatu keturunan tertentu.

Aliran pertama terbahagi kepada dua golongan iaitu golongan yang memperjuangkan agar jawatan ini dipegang oleh keturunan Quraisy sahaja iaitu daripada kalangan Muhajirin manakala bagi golongan kedua pula, mereka menuntut agar jawatan khalifah dikhaskan kepada keluarga Bani Hashim sahaja, atau lebih tepat, dari kaum kerabat Rasulullah sendiri.

Adapun aliran yang kedua, bahawa jawatan khalifah tidak semestinya didasarkan kepada keturunan atau keluarga tertentu – ianya merupakan pendapat golongan Ansar. Sebagai hujahnya, mereka mengatakan bahawa merekalah yang banyak memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat Islam serta memberi perlindungan ketika Nabi SAW dan kaum Muhajirin terpaksa meninggalkan Mekah. Ataupun sebagai suatu tolak ansur, biarlah orang-orang Ansar mempunyai ketua mereka sendiri dan orang-orang Muhajirin mempunyai ketua mereka tersendiri juga. Namun begitu, tatkala orang-orang Ansar sedang merancang untuk melantik tokoh-tokoh daripada kalangan mereka, tiba-tiba datanglah Abu Bakar, Umar dan Abu Ubaidah yang kemudiannya berjaya menenangkan dan menyelamatkan umat Islam daripada berlakunya dua ketua dan serentak itu juga mereka melantik Saidina Abu Bakar as-Siddiq sebagai khalifah yang pertama.

  1. SISTEM PEMILIHAN KHALIFAH

Pada hakikatnya Islam tidaklah menetapkan (secara putus) sistem tertentu dalam pemilihan seseorang khalifah atau pemimpin. Apa yang dituntut hanyalah agar diamalkan konsep ‘syura’ (Ali Imran: 159, Al-Syura: 38), iaitu seperti perbincangan. Terdapat empat cara yang dilakukan ketika melantik Khalifah ar-Rasyidin. Pertama, melalui ‘baiah’ atau pemberian taat setia, seperti yang dilakukan terhadap Saidina Abu Bakar al-Siddiq dalam dua peringkat. Peringkat pertama dinamakan ‘al-Baiah al-Khassah’, iaitu pemberian taat setia dari golongan-golongan yang khas di dalam perhimpunan di Saqifah Bani Saidah saja. Kemudian beliau menerima’al-Baiah al-Ammah’, iaitu pemberian taat setia oleh rakyat jelata pada hari yang kedua di Masjid Nabawi.

Cara yang kedua ialah melalui wasiat, seperti yang berlaku kepada Saidina Umar al-Khattab apabila beliau dilantik sebagai pengganti oleh Saidina Abu Bakar sendiri. Saidina Abu Bakar mencadangkan nama Umar, dan kebetulan nama ini jugalah yang disetujui oleh sahabat-sahabat. Setelah mendapat persetujuan ramai, maka diperintahkannya agar Uthman Affan menulis dikri yang menetapkan Umar sebagai penggantinya. Jadi sungguhpun pemilihan Saidina Umar adalah menurut sistem wasiat, tetapi beliau turut mendapat sokongan ramai.

Cara ketiga dengan melalui sistem ‘syura’, iaitu pemilihan khalifah ditentukan oleh Majlis Mesyuarat. Cara ini dilakukan oleh Saidina Umar dengan mencalonkan enam orang sahabat besar, iaitu Uthman bin Affan, Ali bin Abu Talib, Talhah bin Ubaidullah, Zubair al-Awwam, Saad bin Abi Waqas dan Abdul Rahman bin Auf. Sedangkan anaknya Abdullah bin Umar cuma layak sebagai seorang saksi dalam mesyuarat sahaja, tidak sebagai calon. Setelah selesai mesyuarat mereka, akhirnya Uthman dan Ali sahaja yang berjaya masuk ke peringkat akhir. Tetapi setelah ditinjau pendapat rakyat, ternyata mereka lebih memilih Uthman, kerana sebab-sebab tertentu:

  1. Usia Uthman lebih tua daripada Ali.
  2. Keinginan rakyat untuk mengubah corak pemerintahan yang tegas dan keras oleh Umar kepada corak yang lunak dan toleransi.

Suatu hakikat yang perlu diperhatikan dalam pemilihan Umar dan Uthman ialah bahawa sungguhpun nama-nama mereka telah dicalonkan sebelumnya, namun mereka bukanlah putera kepada khalifah sebelumnya. Abu Bakar tidak menetapkan puteranya, sedang Umar sendiri hanya memberi hak saksi sahaja kepada anaknya Abdullah. Ini sejajar dengan pendapat al-Mawardy, bahawa “Apabila seseorang imam bermaksud mengangkat seorang putera mahkota, maka wajiblah ia berdaya upaya mencari yang lebih berhak dan lebih cukup syarat-syaratnya”.

Akhir sekali perlantikan Khalifah dibuat melalui jalan kekerasan, iaitu apabila rakyat bertindak menggulingkan pemerintah yang gagal menjalankan keadilan. Cara seperti ini berlaku apabila saluran-saluran biasa untuk memilih pemimpin-pemimpin dengan bebas sudah tertutup. Ini berlaku terhadap Saidina Uthman sendiri yang didakwa telah membuat pelbagai kesilapan dan kezaliman. Dan apabila beberapa orang sahabat terkemuka cuba memberi nasihat agar beliau (Uthman) berehat dan mengundurkan diri, dijawabnya: “Aku tidak akan meninggalkan pakaian (jawatan khalifah) Allah pakaikan kepadaku! Aku akan terus berada di kedudukan aku sekarang sehingga  Allah memuliakan ahli sa’adah (orang yang dijanjikan kebahagiaan oleh Allah) dan menghina ahli syaqa’ (orang yang dijanjikan kecelakaan oleh Allah).

Akibatnya kebencian rakyat tidak dapat dibendung lagi, hingga meletuslah pemberontakan yang membawa kematiannya sendiri. Dalam suasana inilah Saidina Ali dilantik oleh penduduk-penduduk Madinah yang memandangnya sebagai tokoh yang paling layak untuk menjadi khalifah, di samping sokongan dari pemberontak-pemberontak yang datang dari wilayah-wilayah Islam yang lain.

Pada mulanya Saidina Ali RA menolak pemilihan rakyat itu, bagaimanapun setelah didesak malah dipaksa oleh pemberontak-pemberontak tersebut, akhirnya Saidina Ali menerima juga pemilihannya. Dan atas kehendak pemberontak juga, Talhah dan Zubair RA yang berada di Madinah turut memberi taat setia kepadanya. Walaupun perlantikan Saidina Ali RA dilakukan secara paksaan tetapi ianya menurut persetujuan majoriti rakyat ketika itu kerana tidak ada calon lain yang lebih layak daripada beliau. Dalam masa yang sama, Saidina Ali RA mempunyai alasan beliau tersendiri atas penolakan terhadap pencalonannya, kerana bagi beliau urusan perlantikan tidak dapat dilakukan secara sewenang-wenang sahaja, sebaliknya haruslah diputuskan oleh pemimpin atasan. Tetapi penerimaannya selepas itu adalah juga wajar memandangkan suasana (darurat) ketika itu yang tidak mengizinkan pelaksanaan mesyuarat seperti biasa.

Demikianlah beberapa cara dan sistem yang dilakukan ketika melantik Saidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali RA. Wujudnya unsur-unsur pemilihan (dengan bebas).

Kriteria Pemimpin dalam Islam.

Pertama: Calon pemimpin yang akan diangkat mempunyai ilmu pengetahuan yang luas sama ada ilmu agama mahupun ilmu umum.

Kedua: Pemimpin mempunyai peribadi yang baik dan beriman kepada Allah SWT. Jadi mereka akan lebih berhati-hati dalam memimpin kerana yakin dan percaya kepemimpinannya akan dipertanggungjawabkan atas apa yang telah dipimpin olehnya di hadapan Allah SWT pada hari pembalasan nanti.

Ketiga: Celik pemikiran & sihat tubuh badan.

Keempat: Berani dan teguh dalam mempertahankan Islam dan syariatnya.

Kelima: Adil dan amanah. Pemimpin harus bersikap adil dan amanah di dalam mengambil segala keputusan. Firman Allah SWT dalam al-Quran: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran”. (Q.S. An-Nahl: 16: 90).

Keenam: Pemimpin yang jujur dalam berkhidmat dan dalam menyampaikan sesuatu kepada masyarakat.

Siti Fatimah Azzahraa binti Zulkefli

Tahun 3 PERUBATAN Cawangan al-Azhar

Sumber :

  1. http://www.acehtrend.co/mengapa-harus-memilih-pemimpin/
  2. https://firmanahmad.wordpress.com/2009/03/24/pemilihan-pemimpin-dalam-islam/
  3. https://www.hidayatullah.com/none/read/2016/03/22/91574/fiqh-kepemimpinan.html
  4. Syura Diantara Realistik & Retorik, Mohd Zahani Abdul Ghani
  5. Sejarah Umat Islam, Dr. H. Abdulmalik Abdulkarim Amrullah
  6. Al-Ahkam As-Sultaniyyah, Abul Hasan al-Mawardy
  7. Al-Wafy Fi Syarhi Al-Arba’in An-Nawawiyah, Dr. Mustofa al-Bugha & Dr. Muhiyyuddin Mistaw