4.q. [MTP] Logo JPP

 

bismillah

Segala puji hanya bagi Allah, Yang Maha Bijaksana, Maha Perkasa dan Maha Pengasih. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta keluarga, para sahabat dan seterusnya atas penerus ajaran Baginda.

Kepimpinan merupakan suatu yang asas yang mesti wujud dalam semua kumpulan di mana-mana peringkat. Samada melalui pemilihan khas, ataupun memimpin dan terpimpin melalui naluri, maka urusan ini pasti ada bagi menguruskan komuniti yang ada, terlebih penting lagi bagi umat manusia yang hidupnya sentiasa bermasyarakat. Justeru itu, Islam sangat mengambil berat akan urusan ini, hingga dinyatakan melalui sabda Nabi Muhammad SAW, mafhumnya, “Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap daripada kamu dipertanggungjawabkan amanah yang dipimpinnya”.

Hal ini dijelaskan lagi oleh Imam Ibnu Taimiyah RA, “Wajiblah diketahui bahawa mentadbir urusan muslimin merupakan kewajipan agama yang paling besar. Malah urusan agama dan dunia tidak akan dapat dilaksanakan tanpa ada pentadbirannya. Sesungguhnya kemaslahatan anak Adam tidak akan sempurna melainkan dengan perkumpulan, yang mana sebahagiannya pasti berhajat kepada bantuan sebahagian yang lain. Apabila mereka berhimpun, mereka perlu kepada seseorang yang memimpin”.

 

Imam al-Ghazali RA pula yang merupakan cendekiawan Islam yang terkenal kealimannya serta banyak menulis berkenaan tasawuf turut mengambil perhatian terhadap kepimpinan umat Islam ini, bahkan menyebut khusus tentang aspek pemerintahan negara di dalam kitabnya yang berkait dengan akidah, dengan menegaskan:

“Agama menjadi asas, kuasa pemerintahan menjadi pengawasnya. Lalu sesuatu itu jika tidak ada asas ia akan menjadi runtuh, dan jika ia tiada pengawas maka hukum agama itu akan menjadi sia-sia sahaja”.

Ini menunjukkan betapa pentingnya urusan ini dan sangat dititikberatkan oleh agama.

Lumrahnya, perubahan masa akan sentiasa berlalu dan mencipta pelbagai catatan sejarah. PERUBATAN, sebagai wadah kesatuan yang menaungi komuniti pelajar-pelajar sains kesihatan di Mesir juga tidak terlepas daripada hambatan masa yang mendesak kepada silih ganti barisan kepimpinan. Sabda baginda Nabi SAW:

HADIS

“Apabila tiga orang keluar bermusafir, maka mereka hendaklah melantik seorang daripada kalangan mereka untuk menjadi ketua.”(HR Abu Daud daripada Abu Hurairah RA, No. 2608)

Maka Jawatankuasa Pilihanraya PERUBATAN (JPP) 2017 telah ditubuhkan bagi meneruskan amanah komuniti ini untuk terus terpimpin.

Jawatankuasa Pilihanraya PERUBATAN (JPP) 2017 adalah sebuah badan bebas yang bernaung di bawah PERUBATAN bertanggungjawab untuk memastikan proses pemilihan kepimpinan komuniti ini, iaitu pemilihan Majlis Tertinggi PERUBATAN (MTP) dan Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) sesi 2018/2019 bagi setiap PERUBATAN Cawangan (PC), supaya berjalan lancar dan selari dengan konsep demokrasi yang dibenarkan Islam. Justeru, gerak kerja yang amanah, cekap dan telus amat dititikberatkan dalam pergerakan jawatankuasa ini bagi memaksimumkan kualiti hasil yang bakal dikecapi bersama.

 

Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa Pilihanraya PERUBATAN Cawangan (JPC) akan dibahagikan mengikut cawangan universiti (Ain Shams, al-Azhar, Iskandariah, Kaherah, Mansurah, Tanta dan Zagazig) bagi memastikan proses pilihan raya yang dijalankan pada tahun ini lebih selaras dan tersusun di kesemua tujuh cawangan.

 

Mengekalkan Sistem Pencalonan

Pada tahun ini, JPP akan mengguna pakai sistem pencalonan sebagaimana yang telah diamalkan tahun-tahun sebelum ini bagi pemilihan Majlis Tertinggi PERUBATAN (MTP) dan Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan, kecuali bagi pemilihan AJKT PERUBATAN Cawangan Kaherah (AJKT PCK). Melalui sistem ini, calon yang layak bertanding perlulah mendapat cadangan dan sokongan daripada individu yang lain. Ahli PERUBATAN juga akan melalui beberapa fasa pilihan raya. Bermula dengan fasa pencalonan, fasa kempen dan bantahan dan akhirnya fasa pengundian.

Pengumuman Tarikh Penting

Untuk makluman, rangka utama perjalanan pilihan raya di kesemua cawangan akan berlangsung dan diselaraskan berdasarkan tarikh-tarikh yang berikut:

  • 27 November – 1 Disember 2017 : Penjualan Borang MTP
  • 1 Disember : Hari Pencalonan MTP
  • 1-7 Disember 2017 : Penjualan Borang AJKT
  • 2 Disember : Pengumuman Senarai Calon MTP (Fasa I)
  • 2 -14 Disember : Tempoh Kempen dan Bantahan Calon MTP (2 Minggu)
  • 7 Disember : Hari Pencalonan AJKT
  • 9    Disember : Pengumuman Senarai Calon AJKT (Fasa I)
  • 9- 14 Disember : Tempoh Kempen dan Bantahan Calon AJKT (6 Hari)
  •  13   Disember : Pengumuman Senarai Calon MTP dan Calon AJKT (Fasa II)
  •  16   Disember : Hari Pengundian
  • 17    Disember : Pengumuman Keputusan

Untuk makluman, jalur masa Pilihanraya PERUBATAN Presiden sesi 2018/2019 akan dikeluarkan sebaik sahaja selesainya Pilihanraya PERUBATAN Cawangan sesi 2018/2019.

 

Seruan kepada Ahli

Pilihan raya merupakan wadah kepada ahli untuk melantik pimpinan.Tugas melantik pimpinan merupakan tanggungjawab bersama. Justeru pihak kami menyeru semua ahli PERUBATAN untuk turut serta dan sama-sama melibatkan diri sepanjang berlangsungnya proses pilihan raya pada bulan ini.

Kuasa pilihan di tangan anda. Sentiasalah amanah dalam mengendalikannya.

Wallahu taala a’lam.

#PERUBATANKelasPertama

“Berkat, Telus dan Cekap”
“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”
“at-Taqwa, as-Syifa’, ar-Rahmah”

 

pengarah

Muhammad Faris bin Deraman

Pengarah,

Jawatankuasa Pilihan Raya PERUBATAN (JPP) 2017