ALLAH Itu HADAF Kami

Oleh: Nur Syazwin Binti Mohammad Shukri

‘Islam dan jamaah adalah dua kata yang tidak boleh dipisahkan,’ ustaz menekankan suaranya.

‘Sebagaimana Allah SWT telah memerintah manusia untuk sentiasa hidup berjemaah dan tidak berpecah-belah.

Allah berfirman dalam Surah Ali Imran ayat 103.

3_103

Ertinya: Dan berpegang teguhlah kalian pada tali Allah seraya berjemaah dan janganlah kalian berfirqah-firqah. ‘

Panjang lebar ustaz bersyarah. Nampak kepentingan di situ untuk kita hidup berpersatuan.

‘Program ini ditangguh seketika bagi memberi ruang untuk makan dan solat. Kita tangguh dengan bacaan tasbih kafarah dan Surah al-Asr,’ ujar pengerusi majlis.

Suasana dewan kembali bising. Manusia berpusu-pusu melangkah ke luar dewan.

Aku bermalas-malas di atas kerusi, membiarkan mereka keluar terlebih dahulu.

‘Aisyah, wat gapo tu?’ Tegur Nina.

Aku tersentak. ‘Tak ada apa pun. Mengantuk agaknya,’ aku berdalih daripada menceritakan hal sebenar.

‘Jom pergi isi ‘minyak’ untuk perut!” Ajak Nina.

‘Awak pergi dahulu, nanti saya follow,” aku membalas sambil tersenyum.

Berprogram memang seronok. Berjumpa empat mata dengan rakan-rakan lama, menambah koleksi rakan-rakan baru, serta menambah tsaqafah diri dengan mencari permata-permata ilmu dalam sesebuah program.

‘Kan best, kalau Siti ada sekali,’ aku menggumam di dalam hati.

Siti kawan aku sejak dari bangku sekolah lagi. Kalau dahulu, pergi ke mana-mana pasti aku dengan dia. Macam belangkas tak boleh dipisahkan. Namun sejak datang ke sini, kami makin menjauh. Bukan bergaduh, akan tetapi dia seolah-olah menjarakkan diri daripada aku.

Teringat perbualan aku dan Siti kelmarin.

‘Siti, jom kita pergi ceramah yang PERUBATAN buat esok.’

‘Hmm.. Aku ada hal esok, Aisyah. Lagi pun aku kena belajar dan pergi hospital.”

‘Ala, nanti kita belajarlah sama-sama waktu gap program. Bila lagi nak dengar pengisian berilmiah macam begini. Beruntung kita tak perlu susah-susah untuk mencari ilmu, persatuan sudah tolong sediakan. Kita tinggal pergi sahaja,’ aku memujuk.

‘Aku bukan orang baik macam kau untuk dengar benda ilmiah ni. Tengoklah nanti kalau aku ada masa,’ balas Siti acuh tak acuh.

 

9

 

 

Aku menarik hela nafas yang panjang, mengenangkan nasib persahabatan aku dan Siti.

Ini bukan kali pertama mahupun yang kedua aku cuba mengajak dia. Dia pernah bertanya kepada aku, ‘Kenapa kau sibuk berpersatuan ya? Apa yang kau dapat? Dan perlu ke kau ajak aku juga?’ berdas-das soalan keluar daripada mulutnya.

‘Kenapa? Kau rimas ke dengan aku? Aku menyibuk ya?” Aku menduganya.

‘Entahlah. Aku tak faham dengan kau dan persatuan kau,” balas Siti.

‘Macam mana kau nak faham selagi kau tak berani cuba untuk meneroka?” aku menjawab dengan persoalan.

‘Aku bukan orang baik macam kau. Solehah, suka tolong orang. Aku ni tak suka jumpa ramai orang. Aku suka hidup sendiri,” dia membalas.

‘Siapa kata orang baik saja boleh berpersatuan. Kalau tanya, apa aku dapat. Banyak. Aku  rasa seronok. Dapat kenal ramai orang. Dapat tahu benda baru. Dapat belajar untuk jadi yang lebih baik. Dan semua ni aku buat lillahi taala. Dengan itu, baru aku dapat rasa nikmatnya hidup yang bermanfaat.

Tiada istilah kau baik, aku jahat. Syurga dan rahmat Allah itu luas. Bergantung kita nak berusaha untuk mendapatkannya atau tidak.

Tiada istilah hidup seorang diri. Sehinggakan Nabi Adam pun Allah datangkan peneman untuknya iaitu Hawa.

Kalau boleh, aku nak kau juga rasa apa yang aku rasa. Merasa keizzahan Islam yang cuba dibawa PERUBATAN,’ panjang aku memberi penjelasan.

Teringat kalam seorang kakak yang aku sudah anggap sebagai ‘murabbi’.

‘Adik, ajak orang untuk kenal Allah. Insya-Allah lepas itu, mereka akan nampak persatuan kita.’

Maka dengan kalamnya aku berpegang. Aku duduk di dalam persatuan ini bukan saja-saja. Hadaf aku hanya satu, membawa mereka bersama aku menuju ke jalan Allah.

Bukanlah menjadi kemestian untuk kita hidup berpersatuan. Namun, ini jalan yang aku pilih. Moga jalan ini benar-benar membawa aku kepada-Nya.

Sesuai dengan hadis Rasulullah SAW yang berbunyi, “Barangsiapa yang mendekat kepada-Ku satu hasta maka Aku akan mendekat kepadanya satu lengan, dan barangsiapa mendekat kepada-Ku satu lengan maka Aku akan mendekat kepadanya dua lengan, dan jika dia menghadap kepada-Ku dengan berjalan maka Aku akan menemuinya dengan berlari.” (HR. Bukhari Muslim)

Biarlah dia menolak ajakan aku walaupun sudah beberapa kali.

‘Nabi Nuh berdakwah lagi lama tau!’ Aku menggumam di dalam hati menguatkan diri.

‘Aisyah, cepatlah,’ kedengaran suara memanggil. Dan aku bangkit terus melangkah sekali gus mematikan lamunan panjang aku.

Aku akan terus mencuba wahai sahabat. Biarlah seribu kali cubaan, yang penting aku tidak putus asa.