Reformasi Menuju Khairu Ummah

Oleh: Ahmad Shahir bin Ahmad Jalaludin

 

Alam ini bersifat baharu. Ianya berlaku akibat daripada perubahan demi perubahan yang sentiasa terjadi. Daripada berubahnya siang ke malam sehingga berubahnya kedudukan bumi mengelilingi matahari di atas orbitnya, dunia ini sentiasa menjalani proses perubahan yang membawa kepada pembaharuan. Sebagai sebaik-baik umat, kita sentiasa dituntut untuk memperbaharui diri. Namun begitu, kefahaman yang jelas berkenaan pembaharuan dan matlamat-matlamatnya adalah perkara yang mustahak untuk difahami sebelum melaksanakannya.

Pentakrifan & Kefahaman Holistik

Dalam membincangkan perihal pembaharuan, kalimah yang sesuai untuk dijadikan sandaran makna dan matlamat adalah istilah reformasi. Reformasi berasal daripada kalimah Bahasa Inggeris iaitu reformation. Cendekiawan bahasa Inggeris mengistilahkan reformation sebagai aksi atau tingkah laku yang membawa ke arah perubahan (change) dan penambahbaikan (improvement). Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) pula mentakwilkan reformasi sebagai perubahan atau pem-baharuan yang mengarah kepada keadaan yang lebih baik. Melalui kedua-dua sumber ini, reformasi jelas membawa maksud tindakan yang membawa kepada perubahan dan menjadikan sesuatu itu lebih baik daripada keadaan asalnya.

Pendefinisian inilah yang ingin dibawakan oleh penulis untuk difahami oleh semua audiens. Reformasi merupakan suatu aksi dan perbuatan yang bukan sahaja mengubah (yakni memangkin) sesuatu urusan dan keadaan tetapi juga menambahbaik kualiti dan bentuk perkara itu. Pada peringkat ini kita perlu faham, reformasi mempunyai konotasi berbeza dengan transformasi iaitu pada unsur penambahbaikan (upgrade) pada sesuatu perubahan. Kedua-dua unsur ini iaitu perubahan (change) dan penambahbaikan (improvement atau upgrade) adalah inti pati penting dalam melaksanakan reformasi.

Persoalan Kepentingan & Matlamat Reformasi Umat Islam

Isu seterusnya yang perlu difahami sebelum melaksanakan reformasi adalah kepentingan dan matlamat untuk melaksanakannya. Ini adalah kerana tanpa mengetahui kedua-duanya, satu-satu reformasi akan berjalan tanpa matlamat yang jelas dan ini akan membawa kepada kegagalan reformasi tersebut. Hal ini telah menjadi inti pati asas reformasi-reformasi yang berjaya dilaksanakan di seluruh dunia.

Sebagai sebaik-baik umat seperti yang dinaqalkan di dalam ayat ke 110 surah Ali-Imran, Allah SWT zahir meletakkan tiga batu asas kepada ciri-ciri khairu ummah iaitu:

  1. Mengajak kepada kebaikan (amar makruf)
  2. Mencegah daripada kemungkaran (nahi mungkar)
  3. Beriman kepada Allah SWT

Tiga ciri ini perlu menjadi matlamat utama kepada reformasi umat Islam yang ketika ini ibarat hidup segan mati tak mahu kepada umat yang mengikut manhaj nubuwah yang seterusnya menjadi umat terbaik sepanjang zaman. Karakter ini jugalah yang telah menjadikan umat Islam pada kurun-kurun terawal Islam sebagai umat yang maju dan berdaya saing.

Reformasi dan Sejarah

Lipatan sejarah jelas menukilkan bahawa umat-umat Islam terdahulu telah melaksanakan pelbagai reformasi dan penambahbaikan yang memberi manfaat kepada mereka dan generasi terkemudian. Sebagai contoh, kesanggupan pada cendekiawan dan ulama silam dalam berubah-ubah tempat untuk menimba ilmu baru membolehkan mereka melakukan bentuk inovasi (penambahbaikan) melalui integrasi ilmu berlaku dan melahirkan individu ensiklopedia (rijal mawsu’i). Ini seterusnya menghasilkan ilmu-ilmu yang mempunyai roh dan nilai ketuhanan yang akhirnya melahirkan masyarakat madani pada ketika tersebut. Matlamat inilah yang perlu dituju oleh semua umat Islam pada ketika ini sekiranya mahu untuk mengembalikan kegemilangan silam yang kian dilupai.

Islam dan Tuntutan Pembaharuan

Agama Islam adalah agama yang syumul. Ianya sangat memahami bahawa waqi’ (keadaan) kehidupan insani sentiasa berubah-ubah dan bersifat baharu. Oleh yang demikian, Islam amat menitik beratkan perihal fleksibiliti (keluwesan) dan rukhsah (kelonggaran) dalam beragama. Islam juga mempunyai elemen tetap (tsawabit) dan berubah (mutaghayyirat) yang menjadikan agama ini kekal relevan sepanjang zaman (melalui kelenturan syariatnya) tanpa mengurangi walau sedikit pun komponen penting dalam agama itu sendiri (seperti unsur usuluddin yang tidak berubah sepanjang zaman).

Sementelah, reformasi adalah sangat rapat dengan Islam dek kerana dua sifat reformasi iaitu perubahan dan penambahbaikan yang sangat dititik beratkan oleh agama ini. Sekiranya dirujuk dalam sirah baginda Rasulullah SAW, peristiwa yang berkait rapat dengan unsur reformasi adalah peristiwa hijrah ke Madinah. Dalam peristiwa bersejarah ini, perpindahan baginda Nabi SAW dan para sahabat mempunyai elemen perubahan (change) melalui berubahnya tempat utama dakwah Islam iaitu di kota Madinah dan elemen  tambah baik (improve) melalui pelantikan baginda Rasulullah SAW sebagai pemerintah kota tersebut (yang tidak terjadi ketika di Mekah). Kedua-dua perkara ini menjadikan umat Islam semakin kuat dan menjadikan reformasi jahiliah kepada islamiah lebih berkesan ke seluruh dunia.

Apa Yang Perlu Dilaksanakan?

Setelah memahami apa itu reformasi dan apakah kepentingannya, perkara terakhir yang perlu dimiliki oleh seseorang  mujaddid ke arah khairu ummah adalah kesedaran dan keinginan untuk melaksanakannya. Perkara ini amat penting kerana tanpa pelaksanaan, sesuatu hasil tidak akan dapat dimiliki. Ianya adalah ibarat ingin kenyang tetapi tidak mahu makan.

Reformasi ke arah sebaik-baik umat ini adalah tanggungjawab semua umat Muslim. Perkara pertama yang umat ini perlu laksanakan adalah berjaga dari tidur yang lena dan mimpi indah dunia. Dunia Islam perlu sedar, kita bukan lagi adikuasa dunia yang mampu mencorak keadaan dunia. Kita juga perlu tahu bahawa kitalah yang sedang menjadi bahan corakan dan bidak catur di pentas permainan musuh-musuh agama ini. Kita sangat lemah dan tidak punyai apa-apa.

Kesedaran ini pula wajib diiring dengan tindakan setiap komponen Muslimin yang mesti bergerak untuk mereformasi keadaan diri sendiri kepada yang terbaik dan seterusnya mengislah masyarakat di sekelilingnya. Hasilnya, suatu hari nanti umat ini akan didengari semula suaranya. Ibarat singa yang terkejut dari tidurnya, ngauman kehebatan umat ini akan kembali menggegarkan dunia dan akhirnya menjadikan agama Allah ini sebagai tertinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya.

Penutup

Konklusinya, sebagai khairu ummah reformasi adalah kemestian buat umat ini. Tidakkah kita mahu melihat nasib umat Islam di seluruh dunia kembali terbela dan agama Islam kembali dihormati sebagai agama yang membawa kebenaran dan menjatuhkan kebatilan? Tepuklah dada, tanyalah iman. Oleh itu, janganlah ia hanya menjadi persoalan di minda tanpa membuahkan amalan kerana ianya akan dihisab di hari akhirat kelak. ‘Reformasi’kanlah diri dan masyarakat sekeliling semoga kita semua berada dalam kehebatan khairu ummah yang diredhai oleh Allah Azza Wa Jalla.