Patriotisme Dan Islam : Itu Pemberontak, Bukan Patriot!

Oleh: Muhammad Amiruddin Bin Suhaimi

Aku, dia dan mereka; semuanya binatang. Binatang yang punyai akal dan emosi. Itulah dakwaan Aristotle berabad lalu. Sayangnya pada abad kini, lagi ramai kita yang lagaknya seperti seekor binatang, daripada kita yang fikirnya seperti seorang orang.

Nanah diskriminasi mengalir deras dalam arus modenisasi, melahirkan ummah yang busuk. Tingginya pencakar-pencakar langit, tapi rendah membumi moraliti umum. Prejudis, syak wasangka dan chauvinisme menjadi ibadah harian, menjadi tiang agama moden. Ya, invensi Facebook, Twitter dan YouTube membolehkan kita berhubung dengan yang lain walaupun dipisahkan oleh samudera luas. Itulah teknologi; pemodenan yang seharusnya melahirkan umat sejagat yang bersatu. Cumanya, invensi-invensi inilah juga yang dipergunakan sehingga menjadi salur fitnah dan kontroversi sehingga membunuh jutaan jiwa muda sehingga ke benua Afrika. Mahasiswa mamdum menjadi lumrah pertiwi.

Seakan-akan persoalan ‘ayam atau telur’; siapa dahulu. Apakah itu sang pemberontak, atau sang pejuang patriotik? Atau ianya sang pejuang patriotik yang ektremis?

Perbicaraan soal definisi adalah perbincangan cabang yang enteng, meleret daripada membahaskan isu pokok. Rujuk saja Profesor Wikipedia. Tapi apabila disebut patriotisme di laman dunia nyata, ribuan carian di laman sesawang tidak akan membantu. Realiti seringkali melingkar daripada fantasi. Hanya pengalaman dan pemerhatian yang mampu mengajar kita.

Idealogi-idealogi selalunya dipenuhi visi masyarakat yang sempurna, tetapi acapkali dimanipulasi oleh pelaksana-pelaksana idealogi tersebut. Inilah diktator pemikiran yang dunia kerap lupa untuk kecam. Tuding saja ke arah Korea Utara sebagai contoh. Hal ini seterusnya menimbulkan satu persoalan kritikal. Adakah ini fakta atau hanyalah propaganda murahan untuk menjatuhkan individu tertentu?

Semakin matang seorang orang, semakin lantang melontar persoalan. Sedangkan jawapan selalu tertera dalam Al-Quran yang ditatang.

“Sibghah Allah. Dan siapakah yang lebih baik sibghahnya dari sibghah Allah dan hanya kepada-Nyalah Kami menyembah.” (Al-Baqarah: 138)

Sibghah dalam definisi mudah ialah celupan. Terjunlah ke dalamnya. Seakan kain yang berubah warna secara total apabila dicelup, Islam itu akan memenuhi segenap pembuluh darah dan berdenyut tika mana nadi kita berdenyut.

Fikirlah dengan Islam, dan berlakulah seperti seorang Islam. Usah diputarkan hipotesis Aristotle dalam kotak fikir, tapi ambillah kata-kata Sang Pencipta yang pernah tercatat di Lauh Mahfudz dan  Baitul ‘Izzah. Bahawa kita ini hamba Si Dia, dan kita seharusnya bertindak sebagai khalifah di muka bumi ini.

Biarkanlah mereka yang mencanangkan patriotisme itu haram. Mereka mengatakan Nabi Muhammad S.A.W tidak pernah menubuhkan negara. Habis di manakah kita hendak sorok si Madinah? Dikatakan patriotisme adalah punca perpecahan umat Islam kini. Aku bangsa Malaysia yang Islam, dan dia bangsa Mesir yang Islam. Aku Malaysia, dia Mesir. Noktah.

Biarkanlah mereka yang mencanangkan patriotisme yang melampau. Hadis lemah yang digunakan, “mencintai tanah air sebahagian daripada iman” digunakan untuk menempa semangat patriotisme dalam sanubari marhaen sehingga mereka sanggup berbuat apa saja untuk membangunkan negara. Bagi mereka, itulah bukti keimanan. Bunuh dan fitnah menjadi perkara biasa, demi kemaslahatan negara. Sayangnya, matlamat bukanlah penghalal cara.

Manusia sering saja mempunyai mempunyai sosok pandang yang berbeza. Dikatakan si dia lagak seorang pejuang patriotik, tapi si dia pula lagak seorang pemberontak. Tempelaklah diri sendiri, kerana lupa bahawa Islam itu menyeluruh! Islam itu bukan hanya soal ibadah dan juga bukan hanya soal akhlak. Islam bukanlah patriotisme pada negara Islam, tapi patriotisme itu hanyalah sebahagian daripada Islam. Lupakah kita yang celupan itu menyeluruh, bukanlah titis-titis dakwat yang meninggalkan lompong putih?

Seakan terang lagi bersuluh, cinta pada ibu pertiwi adalah tabiat mereka yang bergelar manusia. Seakan cinta si gila Majnun yang membuak-buak pada Laila, begitu jugalah kita yang suatu hari nanti akan bangkit membela Malaysia. Namun, cinta yang membuta tuli hanya akan menuju ke lembah gelap tanpa sinar Syurga. Genggamlah Islam sebagai tongkat pemacu arah!