“AKU, ENGKAU DAN PERUBATAN”

Oleh: Siti Hajar Binti Azhar

PERANAN PIMPINAN

 

“It’s not what we have in life, but who we have in our life that matters”

Satu persatu gambaran ciri kepimpinan bermain di fikiran. Tempoh hampir genap setahun berada di kerusi Majlis Tertinggi PERUBATAN mendedahkan aku kepada pelbagai perkara dan situasi yang aku perhati sebagai pelajaran juga muhasabah buat diri.

“Baiklah! Kelihatan semua orang sudah mula mengantuk. Bukan senang untuk kita adakan perkumpulan dan berbincang”, tegas Ikraam, selaku Presiden. Mesyuarat akhirnya diakhiri dengan *‘Sufi Comics’ sebagai penutup mesyuarat hari itu. Sang presiden bijak mengatur kata dan masa ketika mesyuarat. Juga menunjukkan contoh dan akhlak yang baik buat ahli.

*Sufi Comics: komik mengandungi pesanan dan nasihat.

“Tidak! Saya tidak setuju dengan cadangan itu. Atas sebab-sebab berikut…” Tangkas sang Timbalan Presiden membidas hujah yang lain. Habis semua kebaikan dan kelemahan dilontarkan ibarat peluru berpandu pada sesi perbahasan. Tepat pada sasarannya. Juga aku lihat dia seolah tidak tenang jika merasa tidak berbuat apa-apa. Jika sudah kehabisan kerjanya, pasti ditanya anak buah yang lain, apa yang boleh ditolong. Begitulah pimpinan. Kalau kita sebagai anak, pelajar apatah lagi pimpinan, jika merasa terlalu tenang dan lapang, maka nilailah semula amanah yang dipundakkan pada diri. Terurus atau terabaikah amanah tersebut?

Ligat otak memikirkan pembaharuan dan penambahbaikan dalam PERUBATAN. Segala macam dokumen dan template, panduan baru dihasilkan bagi keselarasan setiap cawangan. Setiap detik berlalu pasti akan dianalisa segala kelemahan dan kekurangan yang terpalit dalam sistem PERUBATAN, lantas akan tercipta pelbagai sistem yang menyelaraskan seluruh 7 cawangan. Anuar dan Sakinah berganding bahu menyusun atur takwim perjalanan PERUBATAN.

Juga segala keluar masuk duit untuk program dan sebagainya adalah di bawah seliaan Hanif dan Nadiah. Mereka mengawal kewangan PERUBATAN agar stabil dan tidak membazir. Pembaziran itu sahabat syaitan bukan? Jadi, kewangan PERUBATAN benar-benar dijaga supaya kegunaannya tidak menyeleweng. Kewangan dan dana PERUBATAN digunakan untuk kebajikan ahli yang ditimpa musibah, juga untuk kegunaan program-program yang bermanfaat dalam pembinaan diri ahli.

Bak kata orang, sayang isteri ditinggal-tinggalkan. Imran, Luqman dan Aisar meninggalkan insan tersayang kerana keluar menjalankan tanggungjawab sebagai pimpinan atau tanggungjawab lain yang memerlukan pengorbanan. Pengorbanan yang menuntut mereka membahagikan masa sebaiknya untuk isteri, pelajaran dan amanah. Masing-masing menuntut hak mereka. Pengorbanan yang akan menambah kasih dan seri dalam kehidupan berumah tangga, pengorbanan yang akan dinilai kelak oleh Allah SWT. Tidak akan rugi sedikit pun bagi mereka yang berkerja dengan ikhlas di jalan Allah.

Nazimal dan Nadia cekap mengurus ‘lidah rasmi’ PERUBATAN iaitu mediaPERUBATAN supaya segala yang dipaparkan memberi manfaat yang optimum buat para ahli dan masyarakat. Penerangan berkenaan organisasi, kemanusiaan, sains kesihatan dan keagamaan seperti Fikah Perubatan cukup berinformasi dan membuka minda. Gunakan medium media yang terbentang luas untuk sebarkan ilmu kefahaman dan perkara bermanfaat. Nadia Nabila juga seorang yang self-motivated. Menjadi pimpinan sangat mencabar. Dilihatnya pimpinan bak sosok gagah perkasa,namun hakikatnya pimpinan adalah manusia yang mungkin lebih lemah dari ahlinya. Gayatnya menjadi seorang pimpinan teratas menuntut sokongan pelbagai penjuru agar sentiasa stabil dan tidak mudah pecah ibarat kaca . Namun, tuntutan dan harapan itu tidak selalunya hadir pada masanya. Terkadang tidak kunjung tiba. Hanya satu berbaki: self motivation. Mencari kekuatan dari dalam diri. Milik Allah jualah segala kekuatan. Betapa Dia ingin mendidik jiwa hamba-Nya. Dibiarkan harapan hancur remuk berkali-kali, supaya pengharapan yang paling utama adalah hanya kepada-Nya.

Kelihatan fizikal luarannya senyap seribu bahasa ketika sesi perbahasan. Tetapi di sebalik itu, tangannya tangkas menaip dan menangkap bait kata yang keluar dari mulut para MTP. Fokus  matanya menatap komputer. Pantas tangannya laksana keyboard warrior. Aina  cekap merekod segala  minit mesyuarat.

“Azlin, kenapa minggu ni pergi Kaherah dari Mansurah kerap sangat?” dia ditanya. Jawapan yang disangka diberikannya. Dia  hadir mesyuarat penyelarasan  untuk memastikan kelancaran program yang bakal berlangsung. Apabila kamu menyahut seruan kepimpinan, maka bersiap sedialah mengorbankan keringat,masa dan tenaga. Yakinlah bahawa apa yang diperbuat itu tidak sia-sia. Istiqamahlah dijalan ini dan terus tetap dalam berbuat kebaikan. Kebaikan itu akan kekal dan keletihan itu pasti akan hilang jua.

Masalah ahli! Itulah yang utama bagi Syahir dan Liyana selaku Jabatan Akademik. Akademik adalah core business kita di sini, maka sudah pasti itu adalah masalah yang paling utama dan dititikberatkan di peringkat PERUBATAN selain kebajikan ahli. Masalah yang hadir adalah untuk diselesaikan bukan sekadar melaksanakan tanggungjawab sekadarnya, kemudian berharap perkara itu berlalu segera.

“Langkah ini langkah kita bersama. Besarkan jiwa.” Kata-kata yang bakal tersemat rapi dalam diri. Kita tidak pernah bersendirian dalam membawa agama Allah. Ibarat golongan Hawariyyun yang tangkas mengucap janji akan bersama dalam perjuangan Nabi Musa. Kita juga bukan pemula dan pengakhir, tetapi kita adalah mata rantai perjuangan baginda Nabi SAW.

 

PERANAN AHLI DAN HARAPAN PIMPINAN KEPADA AHLI

Pandangan ku beralih pula kepada ahli-ahli yang menjadi batang, ranting dan dedaun kepada PERUBATAN. Tanpa mereka, tidak berguna akar pokok walaupun kuat mencengkam bumi.

Ada yang gigih mengangkat beras dari markas di tingkat 3, lantas menghantar ke rumah ahli dengan motor. Ada juga yang bertungkus lumus ketika proses perpindahan markas. Tidak kurang juga yang memastikan markas sentiasa kemas dan bersih. Ahli sentiasa berpenat lelah menjayakan segala program yang dirancang dan disusun. Tidak mampu untuk digambarkan segala keringat ahli yang telah dicurahkan buat PERUBATAN.

Satu persatu memori lalu bermain dan menari di fikiranku. Kini Mesyuarat Tahunan Cawangan dan Mesyuarat Agung Tahunan pun hampir tiba. Pimpinan bakal silih berganti, namun tujuan dan matlamatnya tetap sama. Tiada apa yang kami pimpinan harapkan kepada ahli. Cuma kami berharap agar kita dapat sama-sama membantu dalam pelayaran ini dalam amar makruf dan nahi munkar.

Tegurlah kami, pimpinan dengan berhikmah. Terimalah pimpinan seadanya. Kerana pimpinan ini tidak sempurna. Pimpinan juga adalah manusia yang terkadang membuat dosa. Kita semua saling melengkapi. Mudah-mudahan kita sama-sama dapat istiqamah berada atas jalan dakwah ini kerana walau di manapun posisi kita tidak menentukan kemuliaan kita. Yang membezakan kita adalah takwa.

 “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah, taatlah kepada Rasul dan pemimpin di kalangan kamu”

Surah an-Nisa: ayat 59

Tugas utama rakyat atau ahli adalah taat kepada pimpinan selagi mana pimpinan itu menyeru kepada amal kebaikan dan menyuruh meninggalkan kejahatan. Hal ini kerana, tiada ketaatan jika terdapat padanya maksiat kepada Allah. Jika tugas itu disempurnakan dengan baik, maka terhasillah satu sinergi antara pimpinan dan ahli. Sinergi inilah yang akan membawa sesebuah organisasi atau negara di puncak kegemilangannya dan akan menatijahkan kebaikan yang tersebar luas buat semua rakyat dan pimpinan. Jika ahli tidak taat pada pimpinan, maka akan timbul pelbagai masalah dan kekusutan yang berlaku dalam lingkungan masyarakat walaupun segala yang telah direncanakan dan diprogramkan oleh pimpinan itu sangat memberi kesan yang mendalam bagi pembangunan sesebuah organisasi itu.

Bagi memupuk ketaatan ini, pemimpin harus bersungguh-sungguh untuk membina hubungan kasih sayang bersama ahli kerana kesetiaan dan ketaatan ini tidak dapat diberi melainkan jika wujud satu hubungan kasih sayang antara pimpinan dan ahli. Jika ahli dan pimpinan saling berganding bahu, maka akan terciptalah keamanan, kasih sayang, kemakmuran, keadilan dan perpaduan.

Mungkin hari ini, kami berada di tampuk pimpinan. Esok mungkin tiba giliran kalian. Hidup ini ibarat roda. Maka, pada masa akan datang wajiblah ke atas kami pula taat dan memberi sepenuh kasih sayang kepada pimpinan kaum Muslimin. Moga nusrah Allah bersama kita semua! Mudah-mudahan kita dapat sama-sama merasa masam dan manis, tawa dan duka dalam hidup kita bermasyarakat seiring dengan perkembangan dan pengantarabangsaan PERUBATAN.

 

PESANAN KEPADA PIMPINAN

Pimpinan  juga adalah ahli. Aku cuba meletakkan diri pada posisi ahli. Apakah yang akan aku harapkan pada pimpinan? Diriku berfikir sejenak cuba meluahkan kemahuan diri sebagai ahli.

Jikalau aku sebagai ahli, aku mengharapkan pimpinan tidak terus lari dari amanah. Amanah itu berat ibaratnya satu kaki di syurga dan satu lagi di neraka. Namun, pimpinan harus sentiasa kuat untuk ahli di bawahnya. Harus kuat agar tetap dicontohi ahli. Walaupun diakui, manusia itu punya kelemahan, namun pimpinan tidak harus memandang kelemahan itu sebagai masalah yang besar selama mana amanah itu mampu diurus dan ditadbir sebaiknya. Pimpinanlah yang seharusnya mengisi kekosongan dan  lompong kelemahan itu bagi menyokong pimpinan yang lain.

Pimpinan sering berharap agar ahli mampu menegur kesilapan mereka dengan berhikmah. Ahli sedaya upaya menjaga kebajikan pimpinan, maka pimpinan juga seharusnya menjaga kebajikan ahli. Bukankah sesuatu perkara yang saling dilakukan itu, bakal menerbitkan kasih dan sayang?

 Dari Abdul Rahman ibn Samurah dia berkata: Rasulullah SAW telah bersabda kepadaku, “Wahai Abdul Rahman bin Samurah, janganlah kamu meminta jawatan. Sesungguhnya jika diberikannya (jawatan pemimpin) dengan permintaan engkau (disebabkan cita-citamu),maka engkau akan diserahkannya tanpa ditolong (menanggung seluruh bebannya). Tetapi jika engkau diberikan kepimpinan tanpa meminta (ditugaskan tanpa cita-citamu), maka engkau akan ditolong(untuk mengatasinya).

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

 Jawatan itu bukan untuk diminta dan dipuji. Jawatan itu juga bukan untuk ditangisi jika kita sudah diamanahkan. Tetapi untuk diurus tadbir dengan sebaik mungkin.  Berada di tampuk pimpinan amat gayat. Mungkin pimpinan itu tidak mampu tersenyum kerana memikirkan kekurangan diri dan beratnya amanah yang dipikul. Walaupun begitu, pimpinan harus komited dan sebaiknya  rendah hati dan berjiwa besar, bukan rendah diri dan kecil jiwanya.

Kesimpulannya, perbaikilah diri dan nikmatilah kehidupan anda walau di posisi mana anda berada. Di kerusi pimpinan mahupun ahli. Ketetapan daripada Allah itu, barangkali terlihat tidak menyenangkan dan mengundang duka di jiwa, namun pasti ada hikmah di akhirnya. Terokailah dan carilah 1001 hikmah dalam  kehidupan. Nescaya anda akan bahagia dan bersyukur.

 “Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan mahupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu,jika kamu mengetahui”.

Surah at-Taubah: ayat 41