Bersabarlah dengan nama Tuhan.

Oleh: Afiqah Inani Binti Mohd Haslin

Mengapa begini aturannya?

Aku terus mempersoal walaupun unik aturan ini. Saban hari, aku terus mencari makna setiap dimensi perjalanan. Makna cinta, ilmu, iman dan sabar. Tatkala cinta hadir mengindahkan kehidupan, ilmu terang menyuluh perjalanan, iman menjadi pemandu laluan, sabar pula diuji.

Bila namanya insan, dipukul badai mudah sahaja cemas hilang arah. Dalam kekalutan, hati resah mencari punca perjalanan. Manik-manik jernih sedaya upaya ditahan, bimbang jatuh ke tanah melemahkan pencarian. Keringat dikesat membuktikan kesungguhan. Barangkali inilah sebenar-benar mujahadah. Lantas ayat Tuhan menyapa, sabar itu indah. Bersabarlah dengan nama Tuhanmu.

 

Aku yang mengharapkan kesempurnaan

Memiliki apa yang dihajati sudah pasti menjadi igauan kita sehingga lupa kita ini hanya hamba yang tak sempurna. Tak salah bercita-cita, namun perlu dibataskan dengan cinta Tuhan terhadap makhluk-Nya. Proses mendapatkan kesempurnaan menjadi kayu ukur. Setiap daripada kita berbeza dalam menghasilkan natijahnya. Ada yang berjuang bersungguh-sungguh mengejar cita-cita. Ada juga yang berlengah-lengah.

Rasa hampa dan kecewa pasti hadir tatkala cita-cita yang diimpikan tidak kesampaian. Meredah liku-liku, mengenal kawan dan lawan, menilai baik dan buruk serta mengenal makna pelayaran sebuah kehidupan. Akhirnya aku mengakui tiada daya dan kuasa yang lebih besar melainkan Allah Yang Maha Perkasa. Pelayaran ini pasti ada cabarannya, pasti ada bahagia dan dukanya. Pengalaman demi pengalaman mendorong pengharapan iman yang sempurna dipasakkan kepada Tuhan sekalian alam.

Membenarkan sabda Nabi sallahualaihiwsalam, ‘Jika Allah mencintai sesuatu kaum, Dia akan mengujinya. Sesiapa yang reda dengan Allah, Allah reda dengannya.’

 

Hiburan yang menguatkan

Kalam Tuhan itu memberi ketenangan. Saat dada terasa sesak dengan persoalan dan kekeliruan merentas perjalanan sebagai pengembara, dendangan kalimat-kalimat daripada al-Quran bagai terapi yang meleraikan. Janji-janji Tuhan buat yang ikhlas menjaga agama serta menginfakkan diri dan harta diulang-ulang menjadi penghibur kelelahan.

‘Sesungguhnya orang yang selalu membaca kitab Allah dan tetap mendirikan solat serta mendermakan daripada apa yang Kami kurniakan kepada mereka secara sembunyi atau secara terang-terangan, mereka mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan rugi.’ (35: 29)

Sesiapa yang ikhlas menjaga agama Allah tidak akan pernah menjadi papa. Benarlah kata-kata Tuhan Yang Maha Benar,

‘Wahai orang-orang yang beriman, mahukah Aku tunjukkan kepada kamu suatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu. Yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.’ (61: 10-11)

Perniagaan ini menguntungkan dan memerlukan usaha tulang empat kerat kita sendiri. Menyoroti sirah baginda Muhammad sallahualaihiwassalam apabila baginda keluar berperang. Dalam kesederhanaan hidup baginda, baju perang dan pedang baginda adalah dari yang terbaik. Kuda-kuda perang juga adalah daripada jenis yang terbaik. Seluruh harta baginda dimaksimakan untuk perjuangan Islam. Malah Baginda Rasulullah pernah mengikat batu-batu di perut untuk menahan lapar.

Perniagaan turut menjadi sunnah Nabi sallahualaihiwassalam malahan galakkan daripada Nabi sallahuaaihiwassalam kepada umatnya untuk berniaga. Bukan semata-mata untuk menjadi kaya tetapi melalui perniagaan ni adanya tarbiyah. Tarbiyah tentang kehidupan yang mnndekatkan diri kepada Tuhan. Seorang peniaga sebenarnya mempunyai tawakal yang tinggi, tidak tahu bila dan bagaimana rezeki yang bakal tiba tetapi tetap berusaha keras. Tawakalnya mutlak kepada Allah Taala.

Inilah hiburan-hiburan yang menguatkan hati saat perjalanan dirasakan payah, iman dirasakan lemah, jasad tak daya melangkah. Rugi bukan mereka yang melepaskan tawaran-tawaran daripada Tuhan?

 

Menjadi jutawan kehidupan

Kisah Zaid bin Harithah datang mengadap Rasulullah SAW hanya untuk menyerahkan kuda tunggangannya yang paling dikasihi ke jalan Allah. Dia berkata, ‘Aku ingin menjadi pelabur yang terbaik untuk dakwah ini. Inilah kuda tungganganku yang engkau tahu bahawa aku amat menyukainya. Sudilah kiranya engkau menerimanya dan menyerahkannya kepada yang patut menerimanya. Semoga amal ini diterima oleh Allah SWT.’

Kuda yang amat tangkas ini diterima Rasulullah sallahualaihiwassalam. Raut wajah  Zaid bin Harithah berubah sedih kerana terpaksa berpisah dengan sesuatu yang paling dicintai. Inilah teladan unggul  yang menjadi pengajaran buat generasi hari ini menanamkan benih menginfakkan segalanya untuk agama.

Ramai yang ingin menjadi jutawan dunia, namun berapa ramai yang sekurang-kurangnya berniat menjadi jutawan akhirat? Kehidupan abadi di akhirat lebih kekal, bukan? Lewati hari ini, aku mula sedar perjalanan yang panjang ini penuh makna. Memaknakan kehidupan dengan cinta, ilmu, iman dan sabar. Cinta Tuhan, Rasul dan agama-Nya buat hidupku menjadi indah. Ilmu dan kefahaman yang dikurniakan membuat hidupku mudah. Iman dan keyakinan meneguhkan aku  mengatur arah. Dan dengan sabar, aku bersedia untuk menjadi jutawan kehidupan dengan cabaran dan ujian-ujian di jalan ini.

Teguhkan kami di jalan ini.