“ Beraktiviti apa cuti- cuti begini?” soal seorang junior yang saya kagumi buat kesekian kalinya. Saya jarang dapat berbual panjang dengannya.Kalau tidak kerana Smart Circle (SC) mingguan Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) yang kebiasaannya berjalan pada hari Rabu (hari kuliah), saya belum boleh berharap dapat bertukar khabar dan cerita dengannya pada waktu yang lain. Dan saban pertemuan itulah, soalan itu sentiasa menjadi permulaan cerita panjang kami.Soalan itu ringkas namun sentiasa menjenguk ruang muhasabah dalam diri sendiri.Dan hari itu, jawapan saya, “Berkempen untuk awaklah!”

Kala ini, sebagaimana tahun- tahun sebelumnya, garis masa PERUBATAN sedang melalui fasa peralihan pucuk kepimpinan.Ini kali pertama saya memerhati dengan teliti dan merasai kehangatan proses pemilihan pimpinan PERUBATAN dan PERUBATAN Cawangan sebagai seorang penyokong kuat kepada bakal- bakal pimpinan. Masa yang agak lapang kala ini membolehkan saya menilik satu- persatu manifesto dan penerangan setiap calon.Tidak cukup hanya penerangan di maya, pidato mereka lewat program pengenalan calon baru- baru ini juga saya perhalusi.Tambah bertuah, tahun ini calon- calon proaktif,giat turun menziarahi rumah- rumah ahli, berkempen dan meraih undi.Saya kira usaha gigih tersebut amat berbaloi.Ahli dapat bersoal- jawab secara langsung dengan calon malahan melalui cara tersebut.

“Saya terbaca satu hadis dalam buku ini,” ujarnya tiba- tiba, sekaligus menukar topik tentang perdebatan dua calon Pengerusi PERUBATAN Cawangan Zagazig baru- baru ini kepada sebuah buku di tangannya. Kitab Qiyadah Mu’athirah yang sedia berterjemah, yang juga merupakan silibus SC kami.

“Sungguh kalian akan tamak dengan kekuasaan, (padahal) itu akan menjadi penyesalan pada hari kiamat,” sambungnya senafas.Saya pandang dia yang tunduk menekursilanya, menunggu sambungan kalamnya.

“Saya takut baca hadis ini.Takut gambaran semasa kiamat tu.Terpandang diri sendiri bila baca hadis ni,” luahnya perlahan. Senyum tawar.Alangkah moleknya kalaulah semua pimpinan dunia hari ini berfikir seperti mana dia berfikir.

“Jangan rasa takut itu menjatuhkan awak pula. Orang yang menyesal di hari kiamat nanti ialah orang yang tamak dengan kuasa sehingga terlupa ada Tuhan yang lebihberkuasa di dunia ni,” ucapan itu saya pasti jelas sampai kecuping telinganya. Dan yang terlebih pasti, ianya tiba kegegendang telinga saya sendiri dengan gemaan paling kuat.Menyentak hati sendiri.Padu sehingga rasanya kalaulah sedang berdiri kala ini, saya boleh terduduk.

“Hadis ini motivasi untuk pimpinan.Rasulullah nak beritahu bahawa beratnya amanah sebagai pimpinan ini…,” saya berhenti seketika, menghela nafas yang tiba- tiba sesak sebelum menyambung,

“Tapi kita tak akan boleh lari dari amanah.Sebab tanggungjawab itu warisan Nabi kita sendiri.Kita dalam rantai kesinambungan kerja Nabi.Kalau kita tak berusaha untuk sabar dalam istiqamah ni, nau’dzubillah kita tersasar, terkeluar dari rantai itu,” menghabiskan ayat itu, saya termenung panjang menghadap dinding ruang mesyuarat Teratak Ulul Albab, markas yang sungguh banyak baktinya kepada organisasi ini.

“Rantai perjuangan Nabi.Macam mana saya boleh sebut ayat tu dalam pendahuluan tazkirah- tazkirah sebelum ini, tapi hari ini saya teruji pula dengan ayat tu,” dia menggeleng perlahan.Ada senyum tawar di tepi bibir.

“Allah sedang ingatkan kitalah tu,”ucap saya, sebenarnya mengingatkan diri sendiri.

***

Pendidik yang Mendidik Pemimpin

“Memimpinlah dalam keadaan tahu bahawa Allah sedang memimpin kita,”pesanan itu cukup memberi semangat sewaktu awal- awal diberi mandat menjadi AJKT PERUBATAN Cawangan dahulu.Tiada apa- apa yang perlu dibimbangkan sepanjang menjadi pimpinan perihal potensi diri sendiri. Bukankah jawatan itu satu bentuk tarbiyah?Maka bersedialah kita untuk belajar dan diajar.Memang begitulah adatnya; dipertikai kita terima, dipersoal kita bermuhasabah, dijulang cepat- cepat kita beristighfar lalu kembalikan semuanya kepada Tuhan yang sedang memimpin kita.

Oleh hal yang demikian, apabila soalan ‘bagaimana mahu memilih pimpinan?’ gemar diutarakan, ciri- ciri pertama yang penting untuk kita perhatikan adalah perihal kesediaan calon belajar dan menerima tunjuk ajar. Penulis Kitab Qiyadah Mu’athirah Jamal Hasan Saad Madiy menyebutkan bahawa potensi seorang pimpinan lebih banyak dibentuk daripada dilahirkan.Tulisnya,“Al-Qiyadah (pimpinan) dapat dipelajari dan diajarkan.”

Tulisnya lagi, “Sebaik- baik pengembangan untuk seorang pemimpin adalah pengembangan peribadi (tanmiyah dzatiyah) melalui perilaku yang berkesan dan berpengaruh”.‘Pengembangan’ di sini membawa maksud proses latihan dan tunjuk ajar bersistem untuk pimpinan daripada pimpinan- pimpinan lama yang berpengalaman. Hal ini yang kita aplikasikan dalam organisasi PERUBATAN sendiri menerusi Lembaga Penasihat PERUBATAN yang saban tahun berbincang dan menjayakan kursus- kursus latihan buat pimpinan PERUBATAN dan SC pimpinan.

Tidak dinafikan, pendidikan ini mungkin juga berlaku secara tidak rasmi, secara tidak langsung lewat perkongsian dua hala dan proses tagging sesama pimpinan. Apa yang pasti, ia bergantung kepada individu pimpinan sendiri untuk mengambil peluang, mencedok ilmu daripada orang- orang lama. Seni ini adalah satu bentuk pendidikan luar kelas yang tidak patut dipersia-siakan oleh sesiapa pun.

Dan apabila kita bercakap mengenai proses pembelajaran ini, tidak dapat tidak setiap pimpinan perlulah mempunyai jiwa seorang pendidik atau lebih suka saya sebutkan, ‘berjiwa murabbi.’ Kitab kepimpinan ini juga menyebutkan bahawa syarat menjadi pemimpin yang berkesan dan berpengaruh ialah berjiwa murabbi selain dua syarat yang lain iaitu berjiwa seorang pengajar (mu’allim) dan berjiwa seorang pengatur (munazzhim).

‘Yang patahkan tumbuh, yang hilangkan berganti’.Legasi kepimpinan akan beralih tampuk mengikut sistem masing- masing umpama mata rantai yang selalu kita sebut- sebutkan. ‘Erti hidup adalah pada memberi’, semua pemimpin akhirnya akan menyedari peripenting mendidik dan menyampaikan ilmu kepada pelapis- pelapis masa depan. Nah, pemimpin bukan sahaja perlu bersedia menerima didikan, tetapi juga perlu bersedia mendidik generasi akan datang. Sebagaimana ditulis oleh penulis Tom Peters yang juga merupakan seorang tokoh ekonomi dalam salah satu bukunya menyebut, “Leaders don’t create followers, they create more leaders.”

Kitalah Pemimpin Masa Hadapan.

Anak muda akan mencorak landskap kepimpinan tanah air kelak. Kitalah pemimpin yang dinanti- nanti. Bukanlah apabila nama berdiri sebaris pangkat dalam organisasi, barulah kita hendak sedar soal kepimpinan. Kalau bukan hari ini dipilih seantero PERUBATAN selaku pimpinan pun, kita masih tetap seorang pemimpin.Dan Allah Maha Mengetahui tempat terbaik demi mengembang potensi dan kepimpinan hamba- hamba-Nya.

Ingatlah kisah mahsyur Khalid bin al-Walid yang dilucut jawatannya oleh Umar al- Khattab daripada posisi panglima perang Islam suatu ketika dahulu. Beliau yang tetap mentaati pemimpinnya menjawab ketidakpuasan ramai orang kepada Umar, “Selagi Umar al-Khattab ini hidup, selagi itu tiada ruang fitnah untuk berlaku.”Panglima perang itu tahu bahawa tindakan Amirul Mukminin itu adalah untuk mengelak fitnah kepada Islam, dan bukanlah mencipta fitnah.

Untuk anda yang bakal menerajui PERUBATAN dan PERUBATAN Cawangan, kekallah bersemangat hingga ke akhirnya.Bersedialah untuk dididik dalam medan ini. Usah lupa untuk membina diri untuk Islam, kelak  pelapis- pelapis akan merujuk kalian pula, menuntut didikan yang sama. Berpeganglah dengan kalamullah yang padanya Allah janjikan balasan yang tidak ternilai untuk sesiapa yang beramal (bekerja) di atas jalan-Nya,“Dan orang- orang yang beriman (kepada Allah) dan mengerjakan amal soleh serta beriman kepada apa yang diturunkan kepada Muhammad,dan itulah kebenaran daripada Tuhan mereka  ; Allah menghapus kesalahan mereka dan memperbaiki keadaan mereka.”(Muhammad,2)

Selamat mengemudi PERUBATAN.
Siiru ‘ala barakatillah!